Inisiatif bersepadu pemimpin-AKSB salur bantuan segera air di Mengkebang
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 29 Mac – Bantuan bekalan air segera digerakkan secara bersepadu melibatkan wakil rakyat dan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) bagi menangani isu tekanan air rendah yang menjejaskan kira-kira 250 penduduk di empat kampung dalam DUN Mengkebang sejak awal Ramadan.
Inisiatif tersebut dilaksanakan oleh Pejabat Khidmat DUN (PKD) Mengkebang bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar serta Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latif Abdul Rahman bagi memastikan bekalan air terus disalurkan ke kawasan terjejas termasuk Kampung Cenulang, Kampung Bedal, Kampung Sepuluh dan Kampung Padang 10 Senagar.
Penduduk yang terjejas akibat musim kemarau berlarutan dan faktor geografi berbukit kini menerima bekalan air melalui pengoperasian lori tangki AKSB secara berkala setiap dua hari ke lokasi kritikal.
Sumber: inforakyat.kelantan.my