RM1 juta perkasa projek kambing tenusu di Kelantan
Oleh: Asri Hamat
PASIR PUTEH, 4 Mac – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) menerima peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi melaksanakan Projek Ternakan Kambing Tenusu di bawah Program Kerjasama Kerajaan Negeri dan KPKM.
Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan tersebut bertujuan memperkasa golongan penternak kecil melalui pengembangan projek ternakan kambing tenusu secara lebih sistematik, mampan dan berdaya maju, sekali gus meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada import.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan RM1 juta tersebut, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi perolehan 89 ekor kambing tenusu import dari Australia membabitkan 74 ekor induk dan 15 ekor pejantan.
“Kambing berkenaan akan diagihkan kepada 16 penternak yang terpilih. Penternak lama akan menerima antara lima hingga lapan ekor kambing, manakala penternak baharu menerima dua hingga tiga ekor.”
Sumber: inforakyat.kelantan.my