Kelantan tambah peruntukan RM210,000 bina kandang kambing lestari di tujuh DUN
Oleh: Asri Hamat
PASIR PUTEH, 4 MAC – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Portfolio Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi menambah peruntukan sebanyak RM210,000 kepada tujuh Dewan Negeri (DUN) terpilih bagi pembinaan kandang kambing yang lestari dan lebih sistematik.
Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, setiap DUN menerima sebanyak RM30,000 bagi memastikan pembinaan kandang menepati spesifikasi yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK).
Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan sebagai sokongan terhadap penubuhan Goat Milk Collection Centre (GMCC) yang bakal menjadi pusat pengumpulan dan pemprosesan susu kambing di negeri ini.
“Usaha ini adalah bagi menyambut baik penubuhan GMCC yang diwujudkan hasil kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Kelantan.
“Pembinaan kandang yang lebih tersusun dan mengikut piawaian amat penting bagi memastikan bekalan susu kambing yang dihantar ke pusat pengumpulan menepati standard kualiti ditetapkan.”
Sumber: inforakyat.kelantan.my