Delegasi Kelantan tinjau peluang kerjasama akademik di Universiti Emir Abdelkader
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 11 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan meneruskan usaha memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa apabila delegasi negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Emir Abdelkader, Algeria, baru-baru ini.
Delegasi berkenaan diketuai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan telah disambut mesra oleh Rektor universiti berkenaan, Prof. Dr. Saïd Derradji.
Dato’ Wan Roslan berkata, lawatan itu memberi peluang kepada delegasi Kelantan untuk meninjau secara langsung suasana kampus, meneliti ekosistem akademik serta melihat kemudahan dan fasiliti yang disediakan, termasuk ruang pembelajaran, perpustakaan dan persekitaran ilmiah yang kondusif.
Menurutnya, lawatan tersebut turut bertujuan menilai serta meneroka potensi kerjasama akademik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang Pengajian Islam, Ekonomi, Usuluddin dan Dakwah.
Sumber: inforakyat.kelantan.my