KelantanNegeri

YIK, Universiti Umm Al-Qura bincang kerjasama perkasa Bahasa Arab

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 10 Februari – Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengadakan perbincangan kerjasama strategik bersama Universiti Umm Al-Qura, Arab Saudi, bagi memperkasakan penguasaan Bahasa Arab khususnya dalam kalangan guru mata pelajaran tersebut di sekolah-sekolah seliaan YIK.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, antara fokus utama perbincangan ialah cadangan pelaksanaan kursus pemantapan Bahasa Arab yang disasarkan kepada guru-guru Bahasa Arab YIK.

Menurut beliau, kursus berkenaan dicadang dilaksanakan secara dalam talian sebagai fasa awal dengan kerjasama IQRA Arabiah University, Universiti Umm Al-Qura, Mekah, sebelum diteruskan ke fasa seterusnya secara bersemuka di universiti tersebut berdasarkan penilaian tahap penguasaan Bahasa Arab peserta.

“Semoga usaha kerjasama ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan penguasaan dan meningkatkan kefasihan Bahasa Arab dalam kalangan guru sekaligus memberi impak positif terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Tambah YB Dato’ Wan Roslan, perincian berkaitan kos dan pembiayaan akan dimuktamadkan selepas kertas cadangan terperinci disediakan dan dipersetujui bersama antara Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak IQRA Al-Arabiah.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️