Peserta RXZ Forever Legend dipuji, julang adab tinggi
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 8 Februari — Peserta Program RXZ Forever Legend dipuji kerana menampilkan tahap adab dan disiplin tinggi sepanjang penganjuran program dua hari, sekali gus menepis tanggapan bahawa nilai kesopanan menjadi penghalang kepada kreativiti dan ekspresi anak muda.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, golongan belia yang terlibat dalam program berkenaan membuktikan hiburan dan minat rekreasi boleh digerakkan seiring dengan akhlak serta nilai murni.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah menyekat ruang anak muda untuk berkarya, sebaliknya menyediakan panduan agar kebebasan yang dimiliki tidak terpesong daripada landasan adab dan tanggungjawab.
“Hakikatnya, adablah yang mengangkat martabat karya. Kerajaan tidak pernah menyekat anak muda berkarya. Tiada idea dipadam, tiada bakat dipenjara. Yang dipandu hanyalah arah supaya kebebasan tidak menjadi kebiadaban dan seni tidak berubah menjadi kehampaan nilai,” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my