KGT umum penstrukturan harga produk perak, perkenal jongkong perak baharu
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 2 Februari – Kelantan Gold Trade Sdn Bhd (KGT) mengumumkan penstrukturan semula harga serta pengurusan produk perak melibatkan Dirham fizikal, e-Dirham dan pengenalan rangkaian jongkong perak baharu, berkuat kuasa 1 Februari 2026.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pihak Media dan Komunikasi Strategik KGT, harga Dirham akan diapungkan mengikut harga pasaran harian pada pukul 9.45 pagi dan 5.45 petang.
Paparan harga bagi produk Dirham fizikal dan e-Dirham juga berbeza.
“KGT menggalakkan pelanggan untuk membuat pembelian melalui sistem e-D&D memandangkan harga e-Dirham yang ditawarkan adalah lebih kompetitif berbanding Dirham fizikal.
“Bagi produk Dirham fizikal, KGT menawarkan denominasi satu, dua, lima dan 10 Dirham. Manakala bagi e-Dirham, pembelian boleh dibuat serendah 0.5 Dirham. Walau bagaimanapun, pengeluaran e-Dirham kepada Dirham fizikal hanya dibenarkan bagi jumlah minimum dua Dirham ke atas dan tertakluk kepada ketersediaan stok,”kata kenyataan tersebut pada Ahad.
Tambah kenyataan itu lagi, pengeluaran e-Dirham kepada Dirham fizikal hanya melibatkan denominasi 10 Dirham Belia dan 10 Dirham Wanita. Stok fizikal bagi denominasi lain masih dalam proses penyediaan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sumber: inforakyat.kelantan.my