NegeriTerengganu

Larangan ‘Busking’ 10 Malam Terakhir Ramadan Memelihara Syiar, Adab Dan Tarbiah Umat

KUALA TERENGGANU – Larangan aktiviti ‘Busking’ pada 10 malam terakhir Ramadan adalah keputusan terbaik Kerajaan Negeri Terengganu demi memelihara syiar, adab dan tarbiah umat.

Pengerusi Persatuan Rabitah Kebajikan Institusi Pendidikan Islam Terengganu (RABITAH), Ustaz Muzaihar Kamal Mustafa Kamal menyatakan sokongan penuh terhadap ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu.

“RABITAH berpandangan bahawa keputusan ini wajar dilihat dalam kerangka tarbiyah masyarakat, khususnya dalam mendidik umat Islam agar menghayati keutamaan ibadah pada fasa paling mulia dalam bulan Ramadan.

“Sepuluh malam terakhir bukan sekadar rutin tahunan, bahkan merupakan kemuncak latihan ruhani yang menuntut suasana tenang, fokus dan jauh daripada unsur yang berpotensi melalaikan.” jelas beliau, dalam satu kenyaatan media.

Tambahnya, langkah tersebut selari dengan maqasid pemeliharaan agama (hifz al-din), di samping membentuk disiplin sosial dan adab awam yang menghormati kesucian waktu serta tempat ibadah.

Katanya, ruang awam yang kondusif pada tempoh Akhir Ramadan membantu institusi masjid, surau dan pusat pendidikan Islam melaksanakan fungsi tarbawi dengan lebih berkesan.

“Dalam masa yang sama, RABITAH menghargai pendekatan kerajaan negeri yang tidak bersifat menekan, sebaliknya bersifat terhad, bersasar dan berprinsip.

“Kebenaran aktiviti ‘busking’ secara terkawal di luar 10 malam terakhir Ramadan, dengan syarat-syarat adab, lokasi dan kandungan yang jelas, membuktikan keseimbangan antara tuntutan rohani dan realiti sosial serta ekonomi.” tegas beliau.

Ustaz Muzaihar yang juga Mudir Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman juga menyambut baik ketetapan agar pihak berkuasa tempatan tidak mengenakan caj yang membebankan kepada penggiat seni yang mematuhi garis panduan.

“Pendekatan ini mencerminkan nilai ihsan dan keadilan dalam pentadbiran Islam, di mana kebajikan rezeki tetap diambil kira tanpa mengorbankan prinsip dan keutamaan ibadah.” ujarnya.

Sehubungan itu beliau berkata, RABITAH menyeru seluruh masyarakat, khususnya para penggiat seni dan anak muda, agar melihat ketetapan ini sebagai satu peluang muhasabah dan peningkatan diri, bukan sekadar sekatan.

“Ramadan ialah madrasah ummah, dan 10 malam terakhir ialah kemuncak pembentukan jiwa yang wajar dipelihara bersama.

“RABITAH yakin bahawa langkah berhemah ini akan menyumbang kepada suasana Ramadan yang lebih beradab, berjiwa dan berkat di negeri Terengganu, selaras dengan aspirasi negeri sebagai Darul Iman yang menjunjung tinggi syiar Islam dalam kehidupan bermasyarakat.” jelas beliau lagi.

Berita RABITAH Sebelum in;

RABITAH Sokong Inisiatif Kerajaan Bantu Instisusi Pendidikan Rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️