Muhasabah Gerak Kerja Muslimat Fokus Utama Di Muktamar
KUALA TERENGGANU – Muktamar Muslimat PAS Kali Ke-65 tahun ini, menjadi ruang sangat penting untuk bermuhasabah secara langsung bersama pimpinan dalam usaha memperkukuhkan gerak kerja di semua peringkat.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut, Hajah Fadilah Syed Hamid (Gambar atas) berkata, empat orang perwakilan dari daerah ini hadir tanpa pemerhati bagi memastikan segala maklumat, teguran dan panduan dapat diperoleh secara terus untuk dibawa pulang ke kawasan.
“Objektif utama adalah untuk mendapatkan maklumat dan muhasabah terhadap segala gerak kerja sepanjang satu sesi,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, harapan besar diletakkan supaya segala amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Semoga berlapang dada dan menggunakan peluang bermuhasabah ini, muslimat PAS di semua peringkat dapat terus maju ke hadapan demi memperjuangkan Islam,” katanya.
Justeru itu beliau berharap muktamar pada kali ini berjalan dengan lancar.
“Mudah-mudahan segala perancangan untuk memartabatkan Islam khususnya muslimat dipermudahkan urusannya oleh Allah,” tambah beliau lagi.