NegeriTerengganu

Guna Pendekatan Kotemporari Sampaikan Dakwah Islam

KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyatakan antara perkara yang diperjuangkan dan bakal disuarakan seandainya menang pada pemilihan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ialah menggesa agar sayap parti itu menggunakan pendekatan kontemporari dalam menyampaikan dakwah Islam.

Katanya, kaedah itu perlu diperkasakan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kerana dunia dakwah hari ini bukan sekadar di surau, sebaliknya ia perlu disampaikan melalui media sosial, konten kreatif dan khidmat masyarakat.

“Dengan pendekatan ini, mesej Islam akan hadir dalam bahasa yang segar, mudah didekati, dan relevan dengan dunia hari ini,” ujarnya ketika dihubungi pada hari ini ketika mengulas mengenai pencalonannya beliau dipilih untuk bertanding dalam Muktamar DPPM pada kali ini.

Ujarnya, sekiranya diberi amanah menjadi Ahli Jawatankuasa DPPM antara perkara yang akan diperjuangkan juga ialah mengukuhkan perkaderan anak muda melalui Kelab Siswa PAS dan Kelab Pelajar PAS.

“Dengan menggunakan modul kepimpinan, aktivisme kampus dan jaringan masyarakat.

“Matlamatnya ialah supaya lahir generasi pelapis yang matang dalam siasan Islam dan bersedia memimpin,” ujarnya.

Tambah beliau, antara perkara yang akan dicadangkan juga ialah DPPM mewujudkan tema nasional bulanan khas untuk digerakkan serentak di semua peringkat sama ada pusat, negeri dan Kawasan.

“Dengan cara ini, naratif pemuda PAS akan lebih padu, tersusun, dan mampu menembusi masyarakat dengan mesej yang konsisten.

“Saya turut berhasrat agar pemuda dapat mengerakkan Sekolah Ketua Pemuda, sebuah platform latihan berterusan untuk melahirkan kepimpinan muda yang berstrategi, berani berkomunikasi, dan cekap mengurus organisasi.

“Ia penting bagi memastikan kesinambungan kader dari kampus hingga ke saf nasional,” ujar Tengku Muhammad Fakhruddin.

Walau bagaimanapun katanya, semua usaha yang dicadangkan itu perlu disatukan di bawah agenda besar yang jelas dan terancang supaya Pemuda PAS terus menjadi barisan hadapan dakwah dan politik Islam.

“Dekat dengan hati rakyat, serta relevan dengan cabaran semasa negara,” jelas beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️