Perkukuh Kebajikan Dan Dakwah, Hadapi PRU-16 Dengan Jentera Gagah
BESUT – Semua Lajnah, Jabatan dan sayap serta ahli dan penyokong PAS Terengganu diseru memperkasakan kerja dakwah dan kebajikan sebagai teras perjuangan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato’ Dr Alias Razak berkata, usaha tersebut akan diteruskan secara menyeluruh bukan sahaja pada masa ini, tetapi juga untuk jangka panjang.
“Kerja dakwah akan terus berjalan, bahkan mesti diperhebatkan. Begitu juga dengan kebajikan, ia perlu dipertingkatkan kerana rakyat sentiasa bersama kita apabila kita cakna dengan nasib mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Menurutnya, PAS telah menetapkan lima objektif utama yang mesti digapai bagi memastikan kemenangan besar dalam PRU-16 termasuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi di Terengganu.
“Kita mahu Terengganu kekal ‘menang di semua kerusi’, dan untuk itu kita mesti perkasakan parti, memperkukuh tarbiah serta memiliki jentera yang kuat. Musuh tradisi kita, UMNO, mesti disekat kemaraannya. Bahkan, kita berazam untuk pastikan UMNO tidak wujud lagi di negeri ini,” tegasnya.
Dr Alias turut menekankan keperluan untuk meningkatkan keupayaan ahli parlimen dan ADUN supaya dapat dilihat mampu menyelesaikan masalah rakyat walaupun dalam keadaan negeri disekat dari segi hasil royalti.
Beliau turut menyatakan bahawa Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PiTAS) dapat dilaksanakan sepenuhnya sehingga dapat membina keyakinan rakyat juga dapat menunaikan manifesto yang telah ditawarkan selama ini.
“Kita yakin akan menang 100 peratus kerana rakyat percaya manifesto kita mampu ditunaikan.
“Maka, penting untuk kita pastikan kempen kita berjalan dengan tema ‘Teguh Memimpin, Cakna Rakyat’,” katanya.
Tambah beliau lagi, sasaran parti adalah untuk memperoleh lebih 80 peratus sokongan pengundi, justeru penguasaan terhadap media penerangan dan perluasan pendidikan politik serta dakwah perlu menjadi keutamaan.
“Dakwah dan tarbiah mesti berjalan dengan lebih hebat, kerana dari situlah lahir kekuatan sebenar parti,” ujar beliau lagi.