Ensiklopedia Harian PAS – Nama PAS: Dari Persatuan Islam Ke Parti Islam
ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS
NAMA PAS: DARI PERSATUAN ISLAM KE PARTI ISLAM
KELAHIRAN PAS dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 adalah dengan nama Pertubuhan Ulamak Se-Malaya yang dicadangkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pertubuhan Ulamak Se-Malaya, beliau turut menggunakan nama ini dalam draf Undang-undang Tubuh PAS yang dikemukakan kepada Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951. Walau bagaimanapun nama tersebut telah berubah apabila persidangan di Bagan Tuan Kechil ini telah mencadangkan nama baru yang lebih inklusif iaitu Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), sebelum akhirnya bertukar menjadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada 1972.
Dalam Persidangan Pertubuhan Ulamak Se-Malaya itu, selain nama asal, enam nama lain telah dicadangkan antaranya Perikatan Ulamak Umno Se-Malaya, Persatuan Muslimin Tanah Air (PERMATA), Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA), Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), Nahdatul Ulamak Malaya (NAβAM) dan satu nama lain. Nama PAS asalnya adalah cadangan wakil Persatuan al-Ehya as-Syariff, Ustaz Othman Hamzah, tetapi dicadangkan secara rasmi oleh Ustaz Mohd Maβasum Abdul Kadir dari Jemaah Masjid Telaga Air, Butterworth, sebelum ia terpilih sebagai nama rasmi persatuan ini. Sejak 24 November 1951, nama Pertubuhan Ulamak Se-Malaya telah dikenali sebagai Persatuan Islam Se-Malaya atau PAS. Walaupun akronim PAS telah digunakan sejak hari pemilihan nama ini lagi, tetapi akronim PAS hanya diterima secara rasmi dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 26-27 Ogos 1953. Perkataan PAS ini diambil dari akronim abjad Jawi βFa Alif Sin.β
Nama Persatuan Islam Se-Malaya atau PAS telah didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaya dan diluluskan pada 31 Mei 1955. Nama ini kemudiannya menjadi isu dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat pada 26-28 Disember 1955 kerana perkataan βMalayaβ adalah berbau penjajah, sedangkan PAS memperjuangkan kebangsaan Melayu, lalu wakil PAS Kota Bharu mencadangkan nama baru, βPersatuan Islam Semenanjung (PAS)β, tetapi gagal mempengaruhi Mesyuarat Agung Tahunan PAS itu. Selepas merdeka, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketujuh pada 25-27 Disember 1958, sekali lagi isu nama ini timbul apabila menerima dua cadangan nama baru iaitu βPersatuan Islam Se-Tanah Melayuβ dan βPersatuan Islam Seluruh Tanah Melayu,β tetapi cadangan pertama yang diterima. Mulai 12 Mei 1959, secara rasmi nama baru PAS ialah Persatuan Islam Se-Tanah Melayu, setelah Pendaftar Pertubuhan meluluskannya.
Sepanjang tempoh antara 31 Mei 1955 hingga merdeka, nama Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) yang didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan telah diterjemahkan oleh kerajaan British sebagai βPan-Malayan Islamic Party (PMIP)β, tetapi ia bukan nama rasmi dalam bahasa Inggeris yang diputuskan oleh PAS. Selepas PAS menetapkan nama barunya, βPersatuan Islam Se-Tanah Melayuβ pada 25-27 Disember 1958, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Januari 1959 telah menetapkan nama rasmi PAS dalam bahasa Inggeris ialah βIslamic Party of Tanah Melayuβ bukannya PMIP dengan menggugurkan perkataan βPANβ pada namanya. Nama bahasa Inggeris ini bertukar kepada βIslamic Party of Malaysiaβ mulai 1972.
Pada 30 Ogos 1965, Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah mencadangkan supaya nama PAS ditukar dari βTanah Melayuβ kepada βMalaysiaβ setelah Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, tetapi tidak mendapat tindak balas positif dari Pejabat Agung PAS. Selepas tregedi perkauman pada 13 Mei 1969, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-17 pada 17-19 Jun 1971 telah bersetuju menggugurkan perkataan βTanah Melayuβ pada PAS dan ia dikenali sebagai βParti Islamβ sahaja. Namun begitu, nama ini telah ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan kerana tidak dijelaskan di negara mana parti ini bergerak. Lalu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 telah memilih nama.βParti Islam Se-Malaysiaβ sebagai nama baru mengalahkan dua cadangan lain iaitu βParti Islam Malaysiaβ dan nama lamanya, βPersatuan Islam Se-Tanah Melayu.β Sejak itu. Nama baru parti ini ialah βParti Islam Se-Malaysia (PAS)β yang digunakan hingga hari ini.
Mohd Fadli GhaniHead, House of ResourcesPusat Penyelidikan PAS23 Januari 2017