DPPNT Sokong Kongres Maruah Melayu
Oleh : Fidee Aziz
KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyokong penuh terhadap penganjuran Kongres Maruah Melayu yang akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 6 Oktober 2019.
Ketuanya, Mohd Nasir Razak berkata orang melayu sedang dalam keadaan terancam walhal berada di tanah air sendiri maka dengan penganjuran program ini dapat membuka mata dan semangat semua orang.
“Saya mewakili DPPNT berpandangan penganjuran Kongres Maruah Melayu ini melengkapkan agenda yang dibawa dalam Muafakat Nasional secara holistik dengan penglibatan pelbagai pihak memperjuangkan isu Melayu dan Islam”.
“Tentangan dan kenyataan rasis daripada pemimpin DAP terhadap kongres ini tidak perlu dipedulikan oleh orang Melayu-Islam, ” ujarnya lagi.
Nasir berkata demikian di dalam satu kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Beliau menyeru kepada semua agar bangkit untuk meneruskan agenda Melayu-Islam dan menangkis segala perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh musuh.
“Kita sebagai pemuda di sebuah negeri yang paling ramai peratusan orang Melayu-Islam, mengharapkan satu resolusi yang positif dan menyeluruh dalam memperjuangkan maruah orang Melayu-Islam dapat dituntaskan pada esok hari”.