Jangan Berlembut Dengan Pihak Hina Islam
Oleh: Saifullah Jusoh
BESUT – Pemuda PAS Kawasan Besut memberi ingatan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang memerintah kerajaan pusat pada hari ini, agar jangan berlembut dengan pihak yang menghina agama Islam.
Ketuanya, Wan Asriazwa Wan Husin berkata, sekiranya ada pihak yang berbuat demikian, perlulah diambil tindakan yang sewajarnya kepada individu atau golongan tersebut.
“Agama Islam merupakan agama rasmi negara kita. Pihak kerajaan sepatutnya memandang serius isu yang melibatkan penghinaan terhadap agama Islam yang merupakan agama orang Melayu di Malaysia.
“Orang melayu terkenal dengan lemah lembut, tetapi apabila ia melibatkan hal yang berkaitan dengan agama Islam, kita mesti bertegas demi memelihara kesucian dan kehormatan agama kita,” jelasnya.
Beliau berkata ketika berucap dalam Himpunan Bantah Hina Nabi selepas solat Jumaat di Perkarangan Masjid Hadhari, Jerteh pada, Jumaat, 1 Mac.
Menurutnya, perkara sebegini tidak boleh dibiarkan terus berleluasa di dalam media sosial tanpa sebarang tindakan yang tegas diambil.
“Pihak yang berwajib perlu memainkan peranan bagi membendung perkara ini yang akan mengakibatkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan antara kaum.
“Kita akan bersedia pada bila-bila masa untuk turun berhimpun di jalan raya bagi menunjukkan bantahan kami kepada perbuatan yang biadap ini,” ujarnya.
Oleh itu, Wan Asriazwa berkata, Himpunan Aman Membantah Penghinaan Terhadap Nabi Muhammad SAW telah dihadiri oleh ratusan umat Islam daripada seluruh kawasan Besut dan juga orang luar yang mengikuti.
Himpunan ini dihadiri oleh, ADUN Kota Putera, YB Haji Nurkhuzaini Ab Rahman, Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Ahli Jawatankuasa kerja (AJK) PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohd Nor, EXCO Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nor Azariza Alawi dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad.