‘Semut Merah’ Mantapkan Diri Dengan Pelbagai Kemahiran
Oleh : Hidayah Azlin
MARANG – Pemantapan kemahiran Briged Muslimat Terengganu dikenali sebagai ‘semut merah’ diteruskan lagi dengan pelbagai pengisian.
Ia bagi melahirkan amilat yang berilmu pengetahuan melalui Kelas SMART, terdiri daripada tiga Kor utama iaitu Kor Rufaidah (Medic), Kor Safiyyah (Keamanan) dan Kor Khaulah Al-Azwar (Rider).
Ketua Briged Muslimat Negeri Terengganu, Ida Haryati Ali berkata sesuai dengan keperluan tugasan yang memerlukan kemahiran yang pelbagai, Kelas SMART diadakan setiap bulan dengan aktiviti yang berlainan.
“Kelas bulanan diadakan bertujuan untuk memberi latihan yang berterusan. Untuk bulan ini, kita adakan Kelas Radio Amatur,
“Sebelum ini, kita pernah menganjurkan latihan kawad, pertolongan cemas, ikatan dan balutan. InsyaAllah, perkhemahan, usrah, masakan rimba dan lain-lain bakal menyusul,”ujarnya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya lagi, kelas pengendalian radio dua hala itu amatlah penting untuk dikuasai yang merupakan salah satu alat perhubungan dan komunikasi.
“Banyak kelebihan yang ada pada alat ini terutamanya ketika bertugas, kecemasan dan operasi bencana. Tahniah kepada semua peserta yang bertungkus-lumus memahami sedikit sebanyak pengendaliannya,” tambahnya lagi.
“Penghargaan tidak terhingga diucapkan kepada Ketua Komunikasi Khidmat Malaysia (Terengganu), Zawawi Mohamed atau dikenali 9W200V yang sudi turun padang berkongsi ilmu”.
Beliau juga mengharapkan segala ilmu yang diperolehi dimanfaatkan kepada seluruh masyarakat, agama dan negara.