NegeriTerengganu

PAS Dungun Alu-alukan Hukuman Tidak Solat

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – PAS Dungun mengalu-alukan kesediaan kerajaan Terengganu melaksanakan enakmen kesalahan jenayah syariah(Takzir) 2001, Seksyen 18, kerana kesalahan tidak menunaikan sembahyang fardu.

Ketua Penerangannya, YB Cikgu Alias Harun berkata undang-undang yang telah sedia ada itu bertujuan untuk mendidik umat Islam.

“Jadi sebagai pemerintah, kita bertanggungjawab untuk menjaga maslahat masyarakat supaya mereka tidak diseksa, diazab di Masyhar nanti, ” jelas beliau yang dihubungi di sini pada 20 Disember.

Cikgu Alias yang juga ADUN Rantau Abang bercakap demikian  sebagai mengulas sesetengah pihak yang mempertikaikan hukuman denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun kepada individu Islam yang dikesan sengaja melakukan kesalahan tersebut.

“Dalam Islam, solat bukanlah urusan individu, kalau masing-masing lepas tangan, rosaklah masyarakat.

“Dan kita tak laksanakan secara tergesa-gesa, sebab ianya dah lama diluluskan dan diperkenan oleh Tuanku Sultan, sejak 2001, jadi dengan amanah PAS diberi mandat oleh rakyat, kita laksanakan,” ujar beliau.

Di samping itu, terang Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang itu juga  kempen kesedaran dan peringatan pentingnya solat fardu diadakan selari dengan penguatkuasaan yang diambil.

“Sesuai dengan Terengganu Maju, Berkat, dan Sejahtera, kita nak rakyat kita sejahtera belaka, tunduk patuh kepada perintah Allah, kalau tak solat hidup tak berkat,”  katanya lagi mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️