Manazil Siddiqin; Mengukuhkan Sistem Pengajian Pondok
DUNGUN – Bermula dengan tanah seluas tiga setengah ekar, Pondok Manazil Siddiqin kini telah beroperasi dan bersedia menerima kemasukkan pelajarnya secara percuma.
Mudirnya, Ustaz Suhaimi Daud berkata, objektif penubuhan pusat pengajian itu adalah untuk mengukuhkan sistem pengajian pondok yang telah lama wujud, terutamanya di negeri Terengganu.
“kita mula dengan pembelian tanah seluas tiga setengah ekar, kemudian ada pihak yang mewakafkan tanah menambah keluasan pondok ini tujuh ekar lebih,
“kita dah beroperasi dengan kuliah yang dibuka kepada umum dan mereka yang mahu menuntut sepenuh masa boleh mendaftar dan ia adalah secara percuma,” jelasnya.
Beliau yang juga Bendahari Dewan Ulama PAS Terengganu berkata demikian ketika ditemui pada lewat hari Jumaat, 21 September.
Selain itu, kata beliau, sebelumnya pada 16 Ogos lalu, telah disempurnakan Majlis Khatam Kitab Hikam Jawi, karangan Tok Pulau Manis.
Menurutnya, Majlis khatam dan Ijazah Sanad Kitab Hikam dan pembacaan ‘awail sunbuliyyah’ turut dihadiri oleh ulama pondok nusantara.
“sesi petang bersama Tuan Guru Haji Jahid Sidek Al-Khalidi (dan) sesi Sabtu pagi hingga petang bersama Tuan Guru Syeikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani,” ujar beliau.
Apa yang agak unik dan menarik kata beliau, ialah tentang pembinaan pondok Manazil yang menggabungkan seni pembinaan Melayu dengan bahan-bahan pembinaan moden.
Beliau berkata bangunan pondok yang dibina juga terbahagi kepada dua, untuk dewasa dan anak-anak.
“kita (juga) sediakan pengajian kepada orang dewasa dan kepada anak-anak….sekarang yang paling besar umur 20 tahun dan yang kecil 14 tahun,
“saya mengalu-alukan dan mempelawa masyarakat Terengganu dan Dungun khasnya untuk bersama-sama kami,
“dalam meneguhkan sistem pengajian secara ‘berhadap’ sistem pondok yang sebahagian pondok-pndok yang masyur di negeri ini telah pun tiada,” kata beliau.
Keseluruhan pembangunan pondok itu, kata Ustaz Suhaimi, telah membelanjakan sumbangan dari orang ramai tidak kurang RM1.5 juta.
“kita memohon kepada mana-mana individu yang muhsinin untuk melakukan ‘infak fi-sabilillah’ bagi menyiapkan dan memajukan pondok ini,” tambah beliau.