Penoreh Getah Terbeban, Kerajaan Persekutuan Tidak Boleh Lepas Tangan
Oleh: Dzakaria Mohd Salleh
SETIU – Nasib penoreh getah masih lagi samar terbeban dengan kos hidup, walaupun mendapat perhatian dari pelbagai pihak yang berkaitan, kerajaan Malaysia seolah-olah berlepas tangan.
Tinjauan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), baru-baru ini (19 September) di Kampung Layat, Langkap menyingkap harapan menggunung penoreh yang menagih simpati agar nasib mereka mendapat perhatian sewajarnya.
Dengan harga semasa kini RM 2.55 sekilo, pendapatan mereka kini pastinya di bawah paras kemiskinan.
Mereka memerlukan satu talian hayat yang boleh meringankan bebanan yang ditanggung walaupun sekadar barangan dapur setiap bulan.
Seorang penoreh getah, Che Rosmin Che Soh, 57, berkata, buat masa ini, penoreh tidak mendapat bantuan yang sewajarnya.
Sementara itu, seorang lagi penoreh, Alpatlo Isa, 51, mendakwa mereka juga terpaksa membaja dua kali setahun.
“Sebanyak 20 beg digunakan sekali membaja dengan kadar sebanyak 25 kilogram satu beg baja,” katanya.
Isu harga lantai getah, Skim Insentif Penoreh (IPG), baja antara isu yang sering menjadi persoalan bagi penoreh sejak sekian lama.
Nasib mereka boleh diibaratkan sebagai ‘kais pagi makan pagi, namun kais petang belum tentu boleh makan’, apatah lagi musim tengkujuh bakal menjelma setiap akhir tahun.
KAMI akan cuba mendapatkan pandangan, penjelasan, cadangan atau apa jua kaedah bagi membantu nasib penoreh ini daripada pihak yang berkaitan dalam masa terdekat.