NegeriTerengganu

PPDK Pamer Aura Luar Biasa

Oleh: Nurulhaq Hafiz

DUNGUN – Kunjungan Ameerah Care Paka ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Paka mempamerkan aura luar biasa apabila mendapat sambutan positif daripada para pelatih di pusat pemulihan tersebut.

Ketua Ameerah Paka, Adlin berkata, program seumpama ini secara tidak langsung adalah sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru pelatih serta pihak pengurusan yang mempunyai banyak jasa dan pengorbanan.

“Ianya akan mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin serta melahirkan suasana harmoni yang seimbang antara masyarakat dengan golongan istimewa, ibu bapa serta guru-guru pelatih.

“Saya berharap program ini membuka peluang kepada badan persendirian, syarikat, mahupun masyarakat setempat sendiri dalam memberi sokongan moral dan sumbangan kepada PPDK agar dapat memberi khidmat yang lebih baik untuk golongan kelainan upaya ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sayang di Sayang baru-baru ini (12 September).

Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk membuka ruang sosial kepada para pelatih dan memberi impak positif kepada mereka di samping memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap golongan kelainan upaya.

Penyelia PPDK Paka, Puan Fauziah, ahli jawatankuasa, guru-guru, para pelatih serta ibu bapa pelatih PPDK Paka menyambut baik program anjuran Ameerah Paka ini.

Program Sayang Di Sayang dirasmikan oleh isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Sabariah Ilyas.

Program dimulakan dengan bacaan Asma Ul-Husna, bacaan Surah Al-Fatihah secara berlagu dan disusuli dengan aerobik yang diketuai oleh Jurulatih Han.

Para pelatih komited mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang disediakan.

Bakat tersembunyi terserlah dalam aktiviti mengecop dan mengecat banner.

Aktiviti mengecat berakhir dengan kejutan kedatangan maskot yang dibawa khas oleh Marry Brown Paka.

Maskot Marry Brown turut mengedar 100 bekas ais krim tajaan Marry Brown kepada para pelatih dan ibu bapa pelatih.

Sabariah Ilyas turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,800, baju kemeja T bagi setiap pelatih dan guru, radio Al-Quran serta cenderamata buat guru-guru pelatih.

Sumbangan terkumpul adalah hasil kutipan Ameerah Paka daripada orang ramai, syarikat dan individu sekitar Paka.

Ameerah Care Paka berterima kasih kepada semua dermawan yang budiman serta sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Turut hadir, wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Dungun, Khairul Azwin Mohd Nor, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamal Shah, Ketua Muslimat PAS Paka, Rafidah Ramli dan ibu bapa pelatih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️