NegeriTerengganu

PAS Sedia Hadapi Kemungkinan Bertanding PRK Port Dickson

KUALA TERENGGANU – PAS sedia menghadapi sebarang kemungkinan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, jika Umno tidak bersedia menyertainya.

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS sedang mengkaji apa jua keadaan dan bersiap sedia pada bila-bila masa.

Menurut beliau, PAS sentiasa bersiap sedia pada bila-bila masa, jika diadakan pilihan raya kerana parti itu mempunyai jentera dan kawasannya.

“Kita (PAS) sedang mengkaji apa juga kemungkinan yang akan berlaku. Kita sentiasa bersiap sedia. Jika sampai waktu dan ketikanya, kita akan maklum.

“Sebab, jentera kita (PAS) ada di 191 kawasan di seluruh negara. Kita bersedia bila-bila masa sahaja ‘anytime’,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selaku Menteri Besar Terengganu, selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Rabu 19 September.

Menurut Dr Samsuri, parti itu tidak akan membiarkan kemenangan percuma kepada Pakatan Harapan, jika Umno tidak bersedia menyertai PRK tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober depan, manakala penamaan calon diadakan pada 29 September ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️