Seruan Hadir Muktamar Tahunan Kali Ke-64 – Haji Muhyiddin
KUALA TERENGGANU – PAS Negeri Terengganu menyeru agar semua rakyat hadir beramai-ramai untuk memeriahkan Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang akan di di negeri ini.
Katanya, negeri Terengganu akan menjadi tuan rumah Muktamar penuh yang akan berlangsung selama dua hari satu malam di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak bermula 15 hingga 16 September ini.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu Haji Muhyiddin Abdul Rashid, selaku Penolong Setiausaha Jawatankuasa Induk Muktamar Tahunan PAS Malaysia berkata, program ini tidak hanya tertumpu di Stadium Gong Badak sahaja .
Tetapi juga, kata beliau, ia bakal berlangsung di Hotel Permai Inn yang melibatkan Dewan Ulama, Dewan Pemuda di Duyong Marina Resort, Dewan Muslimat di Taman Tamadun Islam, manakala Auditorium Stadium Tertutup merupakan lokasi bagi Dewan Himpunan Penyokong PAS.
“Dewan Ulama’ akan diadakan pada 13 September, Dewan Pemuda pada 13 dan 14 September dan untuk Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS masing-masing berlangsung pada 14 September ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam 9 September.
Nenurutnya, terdapat pengisian sepanjang Muktamar berlangsung seperti ceramah , pertandingan jet ski, memanah , ‘motor cross’, santai selebriti dan banyak lagi acara menarik akan dipertontonkan di muktamar tahunan tersebut.
“(ada) ceramah pada malam 14 September akan disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Nasruddin Hassan dan ramai lagi.
“Kita juga mengadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, persembahan daripada kumpulan qasidah, santai artis dan juga Pentas Otai.
“Santai artis kita jemput Zulkifli Yahya, Ustaz Haslin Baharim atau dikenali Ustaz Bollywood dan moderatornya ialah Ustaz Wan Ahmad Tarmizi.
“Selain itu, sebanyak 352 lot gerai termasuk untuk jualan-jualan kering serta 30 buah ‘food truck’ turut disediakan kepada peniaga-peniaga,” jelas beliau.
Beliau berharap agar muktamar kali ini bukan sahaja dapat menghasilkan keputusan-keputusan yang baik tetapi juga menjadi satu pertemuan umat Islam seluruh Malaysia.