Ayuh! Anak Muda Datang Beramai-ramai Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan selamat datang kepada semua perwakilan dan pemerhati serta anak-anak muda dari ceruk rantau seluruh negara, ke negeri Terengganu pada 13 dan 14 September ini.
Ketuanya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebagaimana yang diketahui Muktamar Tahunan Pemuda dan PAS Pusat pada tahun ini akan di adakan di Darul Iman.
“Alhamdulillah perjalanan muktamar untuk dewan pemuda berjalan dengan lancar sama ada dari sudut persiapan tempatnya persiapan penginapannya,
“dan persiapan yang lain insya Allah berjalan dengan baik,” kata beliau dalam satu sidang video yang disiarkan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa memantau pergerakan yang diatur oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan Dewan Pemuda PAS negeri Terengganu sebagi tuan rumah.
“Saya juga ingin mengajak kepada anak-anak muda di seluruh negara supaya bertandang ke negeri Terengganu untuk kita sama-sama bermuktamar pada kali ini,
“yang dikira sebagai satu muktamar yang bersejarah kerana di sepanjang penubuhan PAS inilah kali pertama kita bermuktamar dalam keadaan Umno Barisan nasional (BN) tidak memerintah,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok itu.
Sesungguhnya pada kali ini, kata beliau, muktamar diadakan dalam suasana politik baru, maka sudah tentulah perbincangan yang akan berjalan dengan suasana yang lebih baik.
Malah kata beliau, muktamar kali ini juga satu perbincangan yang akan membuahkan hasil yang sangat berguna kepada ahli untuk dibawa pulang ke kawasan masing-masing.
“InsyaAllah bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia kita melihat suasana politik yang berlaku pada hari ini memerlukan kepada pandangan-pandangan baru, idea-idea yang baru,
“yang insya allah ia akan menjadi satu medan dalam muktamar ini untuk kita memberikan pandangan, idea dan kritikan yang bernas,” tegasnya.
Antara usul penting yang akan di ketengahkan, jelas beliau, ialah berkait dengan kelangsungan (survival) politik Melayu Islam di dalam mendepani suasana dan keadaan pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).