Peranan Besar Muslimat Pasca Kemenangan
Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Muslimat dan Ameerah mempunyai peranan besar sebaik sahaja PAS berjaya membentuk kerajaan Terengganu selepas pilihanraya umum lalu.
Pemangku Ketua Urusan Ulamak PAS Negeri Terengganu, Ustaz Haji Ismail bin Osman berkata demikian ketika berucap di Program Rehlah Tautan Hati di Pantai Kuala Kertih, di sini, pagi tadi.
“Tugas utama apabila menang pilihanraya, kita perlu mencari seramai mungkin orang untuk menyokong kita dan menarik seramai mungkin golongan atas pagar untuk turut bersama.
“Kemenangan juga perlu dijaga sebaiknya, supaya tidak lari ke lain (terlepas), oleh kerana mehnah serta tribulasi perjuangan tetap ada dan kita masih berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran.
“Perbuatan atau perkara yang boleh melunturkan sokongan, yang boleh menyebabkan orang lari dan yang paling bahaya dan susah apabila yang lari itu adalah sahabat ketika kita belum menang perlu dielakkan,” tegas Ustaz Ismail lagi.
Beliau juga Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat juga mengingatkan bahawa sejarah juga telah mencatatkan bagaimana perjuangan Islam dilalui penuh mehnah dan tribulasi walaupun selepas era kemenangan.
Program Anjuran Muslimat dan Ameerah PAS Dun Kemasik dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiST) Dun Kemasik itu berjaya menghimpunkan seramai 150 peserta dan pelbagai aktiviti berfaedah diadakan.
Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Che Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili juga turut hadir.