Jangan Terpedaya Dengan Persepsi
Oleh : Noreini Abu Bakar
KUALA TERENGGANU – Ahli-ahli PAS diingatkan supaya tidak terpedaya dengan sebarang persepsi yang dilemparkan oleh pihak musuh sehingga terperosok di dalam kerangka tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Ustaz Satiful Bahari Mamat berkata,mereka kadang-kadang rela sehingga tidak mengambarkan dengan imej Islam kerana bimbang terpalit dengan fitnah dan mehnah dengan persepsi yang diberikan.
“Kalau gitu (begitu) kita jadi seperti kambing , walaupun anjing menyalak kiri dan kanan tapi dok(tidak) melarikan diri… kalau kita layan dok kerja buat,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya Satu Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT) berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu(DMPNT) kali ke 45 di Dewan Markas Tarbiyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai pada Sabtu,14 Julai.
Katanya, sebenarnya banyak perkara yang telah dilaksanakan pada tahun 1999 tetapi media tidak bersama lagi.
Dan tambah beliau sehingga sekarang persepsi kerajaan PAS yang diwujudkan bertambah baik tidak seperti tahun 1999.
“Persepsi yang diwujudkan sentiasa berkembang… bahkan dari kalangan kita berkata..ho(ya)…betul jugok,
“dan persepsi-persepsi buruk dilemparkan kepada pemimpin-pemimpin kita yang sebahagian besar telah kembali ke rahmatullah, mereka tidak sempat untuk menjawab,” jelas beliau.
Menurutnya, pada hakikatnya dasar dan prinsip tetap sama cuma pemimpin serta pendekatan dan suasana sahaja yang berbeza.