PAS Yakin Mara, Ambil Alih Terengganu
MARANG – PAS Terengganu tetap melihat semua calon yang diisytiharkan BN bagi mewakili parti itu hadapi PRU14 adalah lawan yang kuat dan tidak sekali-sekali mengambil jalan mudah atau merasa selesa.
Ketua Penerangannya, Ustaz Mohd Noor Hamzah berkata, biar apa pun pada tanggapan dan persepsi masyarakat kepada senarai calon tersebut.
”Biarpun sudah menjadi buah mulut hampir seluruh rakyat Terengganu yang cakna politik bahawa calon-calon yang diketengahkan BN bagi PRU14 yang diisytiharkan hari ini,
”(senarai itu) kelihatan longgar dari banyak segi, PAS Terengganu tidak mahu melayan semua itu,” jelasnya, ketika mengulas perkata tersebut pada Ahad 22, April.
Beliau berkata demikian, di Pasar Malam Pekan Bukit Payong semasa berucap pada Majlis Penerangan Manifesto Dan Ramah Mesra bersama penduduk.
Namun disebalik semua hitungan politik semasa, beliau menaruh keyakinan, PAS tetap akan mara dan kembali ke Wisma Darul Iman sebagai sebuah kerajaan teknokrat.
”Sebagaimana hasil ilham Presiden PAS yang mahukan sebuah kerajaan yang menghargai kepakaran kakitangannya,” tambahnya.
Sehubungan itu, sebagai calon PAS DUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau mahu jentera dan penyokong PAS untuk memusatkan persiapan yang semakin hampir kepada hari penentuan.
“PAS Terengganu tidak mahu ahli dan penyokong mengambil pusing berkenaan kelayakan atau latar belakang lawan PAS pada PRU nanti sehingga kita hilang fokus kepada gerak kerja kita.
“Saya menyeru kepada semua jentera-jentera parti agar tidak mempedulikan isu-isu sebegini kerana ia mungkin hanya mainan atau perangkap sesetengah pihak yang mungkin cuba mengalih perhatian kita.
“Saya yakin, kita mempunyai peluang yang sangat besar jika kita terus fokus dalam usaha kita mengalahkan semua lawan PAS,” tegas beliau.
Beliau turut mengajak semua calon-calon yang bakal bertanding nanti untuk mengikut jejak langkah PAS dalam mengamalkan Budaya Politik Matang Sejahtera bagi menjaga keharmonian.
Tambah beliau lagi, seharusnya politik fitnah dan persepsi yang dijalankan oleh musuh PAS ketika ini, tidak mendapat tempat di hati pengundi-pengundi kerana ini adalah masa untuk membina negara yang lebih baik bukan saling mengfitnah.
Ditanya berkenaan peluang beliau dalam berhadapan seorang bekas senator dan juga seorang wanita, yang mungkin mempengaruhi pengundi wanita, beliau hanya menjawab, beliau mempunyai keyakinan penuh kepada kehebatan jentera Muslimat Dun Bukit Payong.