PAS Besut Berazam Cipta Kemenangan
BESUT – PAS Kawasan Besut kini memasuki fasa terakhir bagi memecut jentera partinya sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sekaligus mencipta kemenangannya.
Yang Dipertua PAS (YDP) Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata unjuran program secara serius telah dan sedang disemarakkan di Besut melalui gerakan kerja bagi mencapai kemenangan.
Malah, katanya mobilisasi jentera parti telah diupayakan secara kolektif dengan semangat bekerja secara berpasukan.“Kita, PAS Kawasan Besut berazam untuk mencipta kemenangan dalam PRU14 akan datang, Insya’Allah.
“Sindrom tunggu dan lihat perlu dihapuskan dari pemikiran anggota parti yang menunggu saat akhir untuk bekerja dalam pilihan raya.
“Gerakan memasyarakatkan PAS melalui pelbagai pendekatan juga perlu diolah dari masa ke masa,” ujarnya hari ini.Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berwajib yang mengendalikan pilihan raya tersebut dapat berlaku adil.
Katanya, perlawanan yang adil secara demokrasi hendaklah secara ‘gentleman’ dan di ‘padang’ yang sama rata.
Menurutnya, isu persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berlaku ketidakadilan.
“PAS mengharapkan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan PRU14 nanti boleh berlaku adil. Perlawanan harus secara anak jantan, gentleman dan di padang yang sama rata.
“Bantahan PAS terhadap projek belah bagi sempadan baru-baru ini sangat wajar dan PAS Besut turut mengemukakan bantahan secara serius demi kepentingan rakyat,” jelasnya.
Beliau yang juga Presiden Lepasan Siswa-Siswi Institut Berakan Negeri Terengganu (Sisbakti) berharap agar PRU14 akan datang ini berlaku secara bersih, adil dan telus tanpa sebarang penipuan pihak tertentu.
Menurutnya, pada pilihan raya tahun 1999 lalu, PAS Kawasan Besut pernah mencipta sejarah dengan memenangi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu Parlimen.