NegeriTerengganu

NGO Bantah Kutipan Tol di LPT2

KUALA TERENGGANU: Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) bersama beberapa buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain membantah keras kutipan tol yang baharu dilaksanakan bermula 15 Julai lalu.

Presidennya, Ustaz Wan Ahmad Faizul Wan Abas menegaskan agar beberapa tuntutan perlu dipenuhi sebelum kutipan tol dilaksanakan.

Katanya pihak NGO Ganti sendiri pernah dua kali membuat kaji selidik di lapangan pada tahun lalu dan dapan kajian itu mendapati banyak bukti dan alasan bahawa LPT2 itu tidak selamat.

“Kami ini dari NGO Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) bersempena pengumuman kerajaan untuk memulakan kutipan bayaran tol bermula 15 Julai (semalam) maka, kami (Ganti) menegaskan supaya beberapa tuntutan hendaklah dipenuhi sebelum daripada sepatutnya tol ini dikutip.

“Kami membangkang sekeras-kerasnya permulaan kutipan tol ini atas beberapa sebab dan alasan.

“Kami dari Ganti ini pernah membuat beberapa kaji selidik di lapangan pada tahun (2015) lepas sebanyak dua kali. Hasil kajian itu menunjukkan bahawa Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) ini tidak selamat digunakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Food Court Giant, Kuala Terengganu pada 16 Julai lalu.Ustaz Wan Ahmad Faizul yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu turut mendesak kerajaan negeri mengkaji perjanjian dengan pihak konsesi lebuh raya tersebut.

“Kami (Ganti) tuntut kajian terhadap perjanjian kerajaan negeri dengan konsesi itu sendiri.

“Kita sudah sedia maklum bahawa perbelanjaan membina LPT2 ini adalah perbelanjaan dari kerajaan negeri Terengganu sebanyak RM1.83 bilion. Duit kerajaan negeri itu hendaklah dikembalikan.

“Maka, kami (Ganti) rasa tidak sepatutnya bebanan itu dikenakan ke atas rakyat. Ini kerana, wang kerajaan adalah wang rakyat. Sepatutnya, kutipan cukai dari rakyat hendaklah dikembalikan manfaatnya kepada rakyat.

“Tol di negeri ini sepatutnya diberi percuma kepada rakyat Terengganu dan tidak dikenakan bayaran.

“Maka, LPT2 yang dikenakan ini sewajarnya dijadikan ‘hadiah’ kepada rakyat Terengganu. Di mana, Terengganu yang dikurniakan dengan telaga-telaga minyak diperairannya, yang memberi pendapatan yang besar kepada kerajaan pusat,” jelasnya mewakil NGOs lain.

Selain itu, beliau mempersoalkan kenyataan Exco Kerajaan negeri, Ir Rosli bahawa hasil kutipan tol tersebut akan digunakan bagi membina LPT3.

Katanya, kerajaan negeri tidak patut dibebankan bagi pembinaan LPT3 kerana itu tanggungjawab pusat.

“Saya ingin membuat persoalan kepada kerajaan negeri yang dibuat kenyataan oleh Ahli Exco Kerajaan negeri, Ir Rosli bahawa kutipan tol ini akan digunakan untuk membina LPT3 pula.

“Ini diperakui sendiri oleh Ir Rosli sendiri sebagai Exco Kerajaan Negeri bahawa wang tol itu hendak digunakan dari Gemuruh hingga ke sebahagian (LPT3) Kelantan.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dibebankan (kewangan) menyiapkan LPT3 itu ke atas kerajaan negeri. Sepatutnya, tanggungjawab menyediakan LPT ini adalah tanggungjawb kerajaan pusat.

“Kita (Ganti) mengharap kutipan tol LPT2 ini ditarik balik, ditangguh atau dihentikan meski pun telah dilaksanakan beberapa hari lalu. Tanggungjawab menyediakan lebuh raya sepatutnya tanggungjawab kerajaan pusat,” tegasnya.

Ustaz Wan Ahmad Faizul mendakwa majoriti rakyat tidak bersetuju dengan kutipan tol berkenaan kerana bukan sahaja disebut oleh ahli-ahli parti politik termasuk NGOs.

Bahkan, katanya orang ramai yang menjadi pengguna LPT2 juga tidak puas hati terhadap kutipan tol yang berlaku itu.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi Generasi Terengganu, Naraza Muda, AJK Perantau Terengganu, Zulkifli Ibrahim dan ramai lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️