“Sebarkan Sayang”……..
HULU TERENGGANU – “Saya tengok masing-masing terpegun tiba-tiba ada 20 orang dayang keluar dari belakang pentas membawa bunga ros.
“Lagi teruja saya kerana ‘dayang-dayang’ itu memberi bunga-bunga itu kepada para peserta. Sayang pulak, sebab saya tak sempat ambil bunga itu,” respon seorang pengunjung, Noor Adalya Muhammad Alif ketika diadakan gimik Pelancaran Ameerah Care Terengganu.
Anak muda perempuan di dalam PAS, atau lebih dikenali Ameerah telah berjaya melakar satu lagi kejayaan dengan melancarkan satu lagi produk mereka bagi mendekati masyarakat melalui dakwah dan kebajikan.
Dengan tema “Sebarkan Sayang”, Ameerah ‘Care’ dilancarkan dengan jayanya sempena HIMMAT 2.0 pada Sabtu, 26 Mac 2016 di Kampung Gaung, Kuala Berang.
Gimik tersebut disempurnakan oleh Puan Noraini Husin, ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dengan memasukkan replika duit ke dalam tabung Ameerah Care yang dibawa oleh wakil Ameerah Care dari bawah pentas di iringi oleh 4 orang Briged Muslimat.
Gimik tersebut sebagai dorongan kepada orang ramai untuk menderma dan memberi sumbangan melalui Ameerah Care.
“Ameerah Care merupakan inisiatif Ameerah Terengganu melaksanakannya di peringkat negeri hingga ke dun atau cawangan. Sesuai dengan orang muda, unit kebajikan ini diberi nafas baru bagi mendekatkan kami (Ameerah) dengan masyarakat.” ujar Timbalan Ketua Ameerah Terengganu, Cik Qurratul Aina Mohamed.
Menurut Cik Aina, Ameerah Care mengambil cakna kebajikan wanita serta anak muda perempuan yang berumur 40 tahun ke bawah.
Mereka didekati melalui program ziarah serta bantuan sumbangan.
Antara program yang telah diadakan adalah bantuan kewangan kepada ibu muda yang sakit atau bersalin, kematian, sumbangan kecemerlangan akademik, sambutan hari lahir, sumbangan untuk ibu tunggal dan pelbagai lagi.
Dalam pada itu, menurut Cik Aina berhubung gimik pelancaran yang unik itu, pemberian bunga ros oleh 20 orang dayang sebagai simbolik sebaran kasih sayang dari Ameerah Care kepada mereka yang kurang berkemampuan dengan memberi bantuan samada dalam bentuk kewangan, sumbangan barangan dan nasihat.
“Kita mahu bergerak dengan lebih matang dan aktif membantu mereka di luar sana yang memerlukan.
“Mereka adalah mad’u kami, selain merasa tanggungjawab membantu mereka ibarat saudara kita.” ujar beliau kegembiraan usai selesai pelancaran tersebut.
Sebagai tambahan, para penderma di luar sana amat dialu-alukan untuk turut sama menyumbang bagi menjayakan program kebajikan Ameerah ini.
Sumbangan boleh disampaikan melalui Ameerah di peringkat masing-masing.