NegeriTerengganu

Pelajar Cemerlang UPSR Dirai

MARANG – Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payong baru-baru ini telah mengadakan satu Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2015 bagi meraikan pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dari sekolah-sekolah di dalam Dun Bukit Payong.

Menurut Pengarah program, Haji Zamri Sulaiman, seramai 58 orang pelajar cemerlang yang berjaya memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR November lalu, meningkat sebanyak 16 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 50 orang.

Beliau juga menjelaskan bahawa lebih separuh wang saguhati itu adalah sumbangan daripada poket ahli-ahli PAS di semua cawangan-cawangan di Dun Bukit Payong demi mahu meraikan anak-anak cemerlang ini.

Paling bermakna, Madrasah Darul Iman (MDI), sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dikendalikan sepenuhnya menggunakan sumbangan wang rakyat, turut berjaya melahirkan dua orang pelajar cemerlangnya tahun ini.

Salah seorang pelajar cemerlang yang ditemui, adik Arfah Qistina Abdul Rahman berkata, dia berterima kasih atas saguhati yang telah diberikan oleh MTD itu.

“Saya merasa gembira dengan saguhati ini (dan) saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyediakan hadiah ini,” katanya dengan sukacita.

Arfah yang ditemani ibunya Puan Kamariah Che Him bercita-cita mahu menjadi seorang doktor apabila dewasa nanti dan sedang menunggu tawaran menyambung pelajaran di sebuah sekolah elit.

Majlis yang berlangsung di Dewan MDI itu telah disempurnakan oleh wakil rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️