Pemuda, Ameerah dan PASTI Catat Sejarah
MARANG – Dewan Pemuda, Ameerah dan PASTI Kawasan Marang mencatat sejarah melaksanakan projek bersama terbesar dengan menjayakan Program Sumbangan Pakaian Sekolah 2016 peringkat Parlimen Marang.
Menurut Pengarahnya Ustaz Sulaiman Sulong, sebanyak RM40,000 berjaya dikumpulkan untuk diagihkankan kepada 420 orang pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan miskin.
Katanya, para penerima dikategorikan kepada 3 kategori iaitu pelajar PASTI, pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Pelancaran program ini telah diadakan pada Jumaat,18 Disember lepas di Dewan Tok Guru, Rusila, serta disempurnakan sendiri oleh Ahli Parlimen Marang iaitu Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang”
“Alhamdulillah, seramai 100 orang pelajar PASTI dari seluruh kawasan di Marang ini yang terpilih menerima sumbangan tersebut. Para pelajar menerima pakaian dan peralatan persekolahan yang dibeli hasil dari sumbangan orang ramai,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang.
Belua berkata, perlaksanaan sumbangan pakaian sekolah bagi pelajar rendah dan menengah diteruskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Baki 320 orang pelajar tersebut dipecahkan kepada DUN Rhu Rendang (100 orang), DUN Pengkalan Berangan (100 orang), DUN Alor Limbat (60 orang) serta DUN Bukit Payong (60 orang). Kesemua Dun telah selesai melaksanakan program bantuan tersebut.
“Usaha yang bersungguh-sungguh bagi menjayakan projek sumbangan pakaian seragam persekolahan ini sebagai tanda kita cakna kepada pendidikan dan melengkapkan generasi pelapis ini. Kita mahu mereka menjadi generasi yang soleh dan solehah, yang cemerlang di dunia dan Akhirat”
“Dengan ilmu mereka dapat membantu memajukan diri sendiri. Diharapkan dengan bantuan yang sedikit ini dapat memberi sinar kebahagiaan kepada mereka serta menaikkan semangat mereka untuk belajar lebih bersungguh-sungguh,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau amat gembira kerana semua pihak di dalam organisasi memainkan peranan masing-masing.
Beliau mengucapkan sekalung tahniah di atas usaha Ameerah, Sahabat Care Marang, Pejabat Ahli Parlimen Marang serta PASTI Marang yang bertungkus-lumus mencari sumbangan melalui badan-badan korporat mahupun individu yang dermawan. Ini merupakan suatu permulaan yang baik dan akan diteruskan lagi,”
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Dewan Muslimat PAS kawasan serta Halwa 4 DUN kesemuanya yang proaktif mencari peserta yang layak menerima bantuan tersebut. Sokongan PAS Kawasan Marang, Dewan Muslimat dan Majlis Tindakan Dun (MTD) setiap dun amat membantu kejayaan program ini.