NegeriTerengganu

5000 Pengunjung Meriahkan ‘Karnival Halal Itu Fardhu’

Oleh : A. Aziz Jusoh

DUNGUN – Lebih 5000 pengunjung membanjiri perkarangan Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah sempena karnival Halal itu Fardhu yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut, di sini, baru-baru ini.

Pelbagai acara menarik diadakan melibatkan masyarakat dari semua peringkat umur dan latar belakang, malah turut membabitkan penyertaan kaum Tiong Hwa.

Pegawai Agama daerah Dungun, Mohamad Zamri Nik berkata, usaha ahli jawatankuasa masjid yang berusaha keras menjayakan karnival berkenaan wajar dipuji dan dijadikan contoh oleh masjid-masjid lain di daerah ini.

Menurutnya, program yang julung-julung kalinya diadakan dengan kerjasama Ramly Burger itu akan mengukuhkan lagi hubungan ukhwah di antara satu sama lain termasuk sesama masyarakat.

“Kerjasama dan perpaduan yang tinggi menentukan kejayaan dalam program ini serta semangat tinggi disemai diharapkan akan terus kekal.

“Diharapkan karnival ini dapat dijadikan sebagai aktiviti tahunan, lebih-lebih lagi fungsi masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah adalah sebagai masjid daerah di Dungun ,”katanya ketika berucap merasmikan karnival berkenaan.

Sementara itu, Setiuasaha jawatankuasa Karnival berkenaan, Aziz@Ismail Jusoh berkata, matlamat utama penganjuran adalah untuk menarik minat orang ramai ke masjid khususnya orang muda dan mengimarahkan lagi peranan masjid sebagai pusat ilmu.

“Bukan sekadar menarik minat generasi muda untuk ke masjid tetapi karnival ini turut menyatupadukan masyarakat dari pelbagai latar belakang.2

“Secara tidak langsung mengeratkan hubungan jawatankuasa masjid dengan ahli jemaah.

“Walaupun ahli jawatankuasa masjid terdiri daripada pelbagai latar belakang dan fahaman politik tetapi tiada masalah untuk bekerjasama demi manfaat kepada masyarakat.

“Peluang yang baik juga untuk para peniaga apabila sambutan diterima amat menggalakakkan , sekaligus menjana pendapatan tambahan kepada kira-kira 100 peniaga yang membuka gerai sepanjang karnival berlangsung.

“Bertepatan dengan temanya, karnival ini turut menekankan aspek pemakanan halal kepada pengunjung dan turut mengupas isu berkenaan menerusi slot forum perdana,”katanya.

Lebih meriah apabila karnival berkenaan diadakan serentak dengan program maulidur rasul dan cukur jambul beramai-ramai.

Antara pengisian sepanjang karnival ialah pertandingan mewarna, pertandingan azan, gubahan, pertandingan pacuan empat roda (Remote Conrol), memanah, menunggang kuda, street dakwah Nisa’, street magic, silap mata, persembahan nasyid, cabutan bertuah dan pelbagai lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️