Kem Syabab al-Hadid Mencabar Dan Seronok
Oleh : SamarQondy
DUNGUN – Walaupun terpaksa meredah hujan dan bergelumang dengan lumpur, para peserta tetap beristiqamah dengan program Kem Syabab al-Hadid hingga akhirnya, yang berlangsung selama 3 hari bermula 26hb. hingga 29 November lalu.
Disertai oleh 90 orang remaja lelaki disekitar DUN Sura, Kem tersebut ditutup dengan rasmianya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Cikgu Wan Hapandi Bin Nik.
Beliau menekankan agar para peserta mengutip sebanyak yang boleh pengalaman berharga dari Kem terbabit, untuk dijadikan panduan hidup.
“Cikgu mengharapkan anak-anak ambil sebanyak mungkin manfaat daripada program ini untuk dijadikan bekalan dan panduan dimasa akan datang.”
“Jangan kita balik ‘kosong’ seperti sebelum kita sampai kesini. Anak-anak akan menjadi pemimpin dimasa akan datang, maka persiapkanlah diri dari sekarang supaya kita bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.” Ujarnya dalam majlis tersebut.
Pengarah Jabatan Pembangunan Remaja Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Aswadi Mohamad turut mengisi slot motivasi bersama peserta yang berumur 12-16 tahun.
Menurut pengarah program Mohd Ismail Bin Zahid, Kem itu dirancang bersesuaian dengan para peserta yang hadir.
“Program ini kita susun berdasarkan beberapa modul yang difikirkan sesuai dengan gender, umur, faktor cuaca semasa dan tempat.
“Selain aktiviti ‘indoor’ kita turut perkenalkan modul ‘Running Mujahid’ sebagai tarikan kepada peserta. Walaupun mereka terpaksa merentas halangan berlumpur dalam cuaca hujan,
“Alhamdulillah semuanya selamat dan sihat belaka. Selain itu, pada sebelam malam kita adakan ‘barbeque’ dan persembahan ‘Syabab Big Show’. Malah ada yang telah ‘booking’ untuk ke kem yang akan datang.”jelas Mohd Ismail.
Program ini berlangsung di Surau Rajawali, Pulau Serai itu, mempunyai pemadangan yang menarik berlatarbelakang sungai Dungun dan jeti nelayan.
“Saya tak sangka dekat sini ada tempat menarik walaupun saya ‘duduk’ tak jauh dari sini. Nanti kalau ada lagi saya nak gi lagilah program gini.” Ujar Mohd Shukri Bin Kamaruddin, salah seorang peserta daripada Kg Bukit Chatak 1.
“Kem ni best dan tidak boring. Aktiviti dia seimbang antara pengisian dalaman dan outdoor. Lasak tu OK bagi saya sebagai cabaran.
“Saya rasa abang fasi nak tengok sejauh mana kami boleh bekerjasama dalam kumpulan dan berukhuwwah sesama rakan yang pelbagai. ‘Syabab Big Show’ ada yang best ada yang kelakar.” Kata Ahmad Danial Bin Rosdi, juga peserta kem tersebut.
Setiap peserta juga menerima cenderahati berupa note pad berisi doa-doa harian, panduan akhlak muslim disamping cenderahati hamper bagi setiap kumpulan.