Kerajaan PAS Berjaya Kurangkan Kadar Kemiskinan
KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam Mohd Abdul Wahid Endut melahirkan rasa kesal dan dukacitanya kerana isu kemiskinan bukan sahaja tidak berkurang bahkan semakin bertambah di negeri ini.
Katanya, isu kemiskinan di Terengganu tidak banyak berubah meski pun negeri ini ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) .
Sebaliknya kata beliau, ketika kerajaan PAS memerintah satu penggal di Terengganu (1999-2004) kadar kemiskinan berjaya dikurangkan.
“Kita (PAS) rasa sedihlah dengan isu kemiskinan rakyat di negeri ini tidak banyak beza walau pun di bawah kerajaan Umno/ BN Terengganu.
“Semasa kerajaan PAS memerintah Terengganu (1999-2004), kita (PAS) berjaya turunkan kadar kemikinan di negeri ini meski pun tanpa royalti (minyak) yang disekat,” ujarnya.
Mantan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu walau bagaimana pun berkata, meski pun wakil rakyat PAS tidak diberikan peruntukan khas kerajaan tetapi masih mampu memikul amanah rakyat.
“Kita (PAS) ada di kalangan orang kaya, ahli perniagaan yang sokong PAS, mereka keluarkan bahagian (zakat) mereka dan diserahkan kepada kita untuk diagihkan.
“Kita tidak ada peruntukkan dari kerajaan untuk program-program bantuan orang fakir miskin, kena (usaha) cari sendiri dengan penyumbang,” jelasnya.
Menurutnya, semua wakil rakyat kerajaan mendapat peruntukkan khas bagi setiap DUN dan Parlimen seluruh negeri ini.
Tetapi DUN yang dimenangi oleh PAS termasuk Wakaf Mempelam memberikan sumbangan berupa wang tunai dan 10 kilogram beras, diagihkan kepada penerima yang layak.