Dewan UlamaKenyataan MediaPusat

SOKONG PENDIRIAN PAS PUSAT, PRINSIP TA’AWUN SIYASI MESTI MENDUKUNG GAGASAN PENYATUAN UMMAH

Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Pusat

SOKONG PENDIRIAN PAS PUSAT, PRINSIP TA’AWUN SIYASI MESTI MENDUKUNG GAGASAN PENYATUAN UMMAH


Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendukung penuh pendirian PAS Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan parti Bersatu. Pendirian itu susulan daripada kenyataan Tuan Guru Tan Sri Presiden PAS yang sebelumnya menyatakan hasrat mengkaji semula hubungan politik dengan parti tersebut.

DUPP ingin menegaskan bahawa kerjasama PAS dan Bersatu adalah berasaskan kepada ta’awun siyasi yang bertitik tolak daripada prinsip tolong-menolong atas dasar kebaikan. Seharusnya prinsip ini menjadi dukungan utama terhadap agenda teras yang diperjuangkan PAS secara konsisten sejak sekian lama iaitu gagasan penyatuan ummah.

Agenda untuk memperjuangkan gagasan penyatuan ummah ini adalah teras utama politik dan formula yang lebih ampuh bagi meruntuhkan wacana politik PH-DAP. Ia wajar digerakkan secara konsisten apatah lagi kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya yang lebih strategik.

Namun, apabila kerjasama politik ini tidak menatijahkan kepada penyatuan ummah yang lebih besar, tambahan lagi terdapat halangan-halangan tertentu, maka pendirian yang dinyatakan oleh PAS Pusat ini hadir tepat pada masanya.

DUPP ingin menyeru seluruh anggota abnaul harakah agar menerima keputusan PAS Pusat dengan jiwa besar. InsyAllah apa jua yang diputuskan hari ini adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam. PAS tidak akan berundur, bahkan akan terus melangkah lebih gagah insyAllah.

Sekian.

YB USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena
9 Jun 2026 Miladi bersamaan 23 Zulhijjah 1447 Hijri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️