Umno Akan Hancur ‘Ditangan’ PAS
MARANG – Hayat politik Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kini berada dipenghujungnya dan akan hancur ‘ditangan’ PAS yang menjadi harapan kepada orang Islam di negara ini.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan penguasaan Melayu Umno akan ditamatkan dan PAS menjadi pilihan orang Islam.
Ini kerana, katanya PAS satu-satunya parti yang menjadi harapan kepada orang Islam bagi menggantikan Umno yang selama ini memerintah negara.
https://youtu.be/MSOpCG8cBLg
“Umno akan ‘hancur’ (tumbang) dengan (ditangan) PAS, bukan dengan Pakatan Rakyat sahaja. Ini kerana, PAS satu-satunya (menjadi) harapan orang Islam untuk ganti Umno.
“Negara tidak akan hancur kecuali dua perkara yang hancur. Negara akan hancur bila pemimpin (kerajaan) jahat dan rakyat pun ikut jahat. Tapi, bila ada baik salah satu itu sama ada pemimpin atau rakyat, Insya’Allah negara tidak akan hancur,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang yang diadakan julung kalinya selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor, awal bulan ini.
Sehubungan itu, Ustaz Nik Mohd Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan Islam merupakan agama yang menuju kemenangan.
Kata beliau, Allah SWT telah memperingkatkan kepada umat Islam dengan kemenangan itu dalam waktu solat lima kali sehari.
https://youtu.be/zNTFHU9b_UM
“Islam ini satu agama yang Allah SWT selalu peringatkan kita adalah umat kemenangan. Lima kali sehari kita solat itu adalah peringatan Allah yang kamu (orang Islam) adalah umat kemenangan. Ini kekuatan umat Islam.
“Jika kita orang mukmin kenal musuh, kita akan menang. Oleh itu, Allah minta kita ‘berubat’ diri kita dengan solat. Sebab dengan jadi ahli solat Insya’Allah, bukan sahaja kita boleh lawan musuh di luar tetapi juga musuh yang ada dalam diri kita sendiri iaitu hawa nafsu,” ujarnya.
Menurutnya, umat Islam akan sentiasa menuju kemenangan selagi mengikut kehendak dan arahan Allah SWT.