NegeriTerengganu

‘Ganti’ Sedia Jadi Penganjur Dailog MB Dengan Penduduk Banggol Donas

KUALA NERUS – Sebahagian dari penduduk yang terbabit dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan negeri Terengganu di Kampung Banggol Donas, kini berdepan dengan pelbagai fitnah di media sosial yang dipercayai berpihak kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Isu tanah tersebut telah berlarutan sejak tahun 2008, dan pelbagai cara dilakukan oleh pihak penduduk termasuk membawanya ke mahkamah bagi menuntut keadilan.

Sehubungan itu, Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) tampil ingin membantu.

https://youtu.be/7qF51vIIfzE

Ganti bersedia pada bila-bila masa menganjurkan satu majlis dailog terbuka antara pihak kerajaan negeri yang diwakili oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dengan wakil penduduk di Kampung Banggol Donas tersebut.

Pengerusinya, Ahmad Amzad Hashim berkata tujuan dialog pemimpin bersama rakyat itu bagi mencari jalan penyelesaian demi kebaikkan semua pihak.

Menurutnya, surat pelawaan berdailog itu akan dihantar kepada pihak Menteri Besar Terengganu yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus dalam masa terdekat ini.

Ini kerana, katanya telah berlaku kecelaruan maklumat yang dimainkan di media sosial pro-Umno dan kerajaan secara terbuka.

Menurut Ahmad Amzad, rakyat menjadi keliru dengan fakta isu sebenar hingga pihak penduduk yang mempertahankan hak difitnah secara peribadinya.

“Terlalu banyak kecelaruan maklumat-maklumat yang disampaikan, yang akhir-akhir ini jadi ‘perang’ maklumat secara terbuka sehingga mengelirukan orang ramai.

“Pihak Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol ini bersedia untuk menjawab semua persoalan yang ditimbulkan. Sebahagian dari maklumat itu tidak relevan dan dijadikan serangan peribadi kepada pihak penduduk khususnya kepada Haji Salleh (pengerusi) sendiri.

“Kami dari NGO Ganti, bersedia untuk menganjurkan satu program dialog secara terbuka dihadapan rakyat dan khususnya kita jemput Menteri Besar (Dato’ Ahmad Razif) sendiri selaku Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus ini.

“Jika boleh, kita mahu merungkai permasalahan ini sebab isu pembinaan jalan di Kampung Banggol Donas ini masalah rakyat,” tegasnya pada satu sidang media di Kampung Banggol Donas, Isnin 20 April.

Menurutnya, isu tanah tersebut bukan hanya masalah kepada lima buah keluarga yang mempertahankan hak tetapi membabitkan semua pihak.

“Projek ini tertangguh begitu lama yang melibatkan wang rakyat. Isu ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara yang baik.

“Kita harap Menteri Besar yang ada ini supaya dapat duduk sekali dan merundingkan apa yang menjadi masalahnya. Jika perkara ini terus berpanjangan ia akan jadi tidak baik.

“Media baharu pro-Umno kini telah membuat ‘serangan’ yang keterlaluan dan tidak benar dengan fakta sebenar. Perkara-perkara ini boleh dirungkaikan sekiranya MB (Ahmad Razif) sedia untuk turun berdailog secara terbuka dan NGO Ganti bersedia untuk menganjurkannya dalam tempoh masa terdekat ini,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️