Terus Bantahan Terhadap GST
KUALA TERENGGANU – GST yang telah berkuatkuasa semalam pada 1 April, merupakan cukai yang membebankan rakyat, ekoran UMNO-BN yang telah diberi mandat oleh rakyat, gagal menguruskan kekayaan negara.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Muhammad Khalil Abdul hadi berkata, hasil mahsul negara tidak diuruskan secara telus dan beramanah.
“Alasan UMNO-BN yang mahu mengenakan GST adalah demi kebaikan rakyat. Ini tidak selari dengan derita dan kesusahan rakyat yang sedia ada akibat ekonomi suram dan pelbagai kesusahan yang menimpa mereka.
“Sepatutnya kerajaan bijak mencari pendapatan untuk dibelanjakan kepada rakyat, bukan rakyat yang terpaksa berkorban untuk kerajaan,”jelasnya
Masalah yang dihadapi sekarang adalah, kata beliau, bukan kerajaan tidak mempunyai kekayaan yang mencukupi, tetapi kekayaan yang sedia ada tidak diurus dengan baik.
Buktinya, tambah beliau, saban tahun Jabatan Ketua Audit Negara melaporkan berlakunya ketirisan serta pembaziran yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
“Antaranya pembelian barangan yang harganya ‘tidak masuk akal’. Sebagai contohnya di Terengganu ini bukti jelas di depan mata kita pembaziran dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh UMNO-BN ini.
“Stadium ‘runtuh’ yang dibina dengan duit rakyat berharga lebih RM300 juta hanya mampu digunakan sekali sahaja, kemudian runtuh.
“Begitu juga nasib kolam renang yang baru siap, tetapi banyak kerosakan berlaku. Itu semua adalah duit rakyat yang membayar cukai dan hasil kekayaan negara yang di salah guna,”tegasnya
Oleh kerana itulah, beliau menyeru rakyat terus menyatakan bantahan terhadap GST, yang beliau yakin, tidak memberi banyak faedah, malah menambahkan beban yang sedia ada.