Panduan Hadapi GST Untuk Kaum Wanita Dari Ameerah
KUALA TERENGGANU – Sudah dua hari cukai baru GST dilaksanakan oleh kerajaan dengan pelbagai rungutan dan bukti- bukti pembelian dikongsi oleh para pengguna, memenuhi laman-laman sosial dan internet.
Jelas, ramai yang terasa terbeban akibat kenaikan harga barangan, malah ada juga pengguna yang tertipu kerana dikenakan GST pada barangan yang sepatutnya bebas daripada GST.
Oleh itu, bagaimana agaknya masa depan yang harus dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan bebanan ekonomi yang kian mencengkam?
Memandangkan tidak ada sebarang petanda GST akan ditangguhkan, Ameerah Terengganu berharap agar golongan wanita menjadi lebih celik dan cerdik tentang bab kepenggunaan dan lebih berhemah untuk berbelanja.
Ketuanya, Puan Zuraida Mohd Nor memanjangkan saranan Ameerah Pusat agar pengguna khususnya kaum wanita agar mengetahui dan memahami perkara yang berkait dengan kepenggunaan.
kita harus cuba untuk memahami buku panduan pengguna (shopper guide) yang telah disediakan oleh KPDNKK dan memastikan hak-hak pengguna yang telah dinyatakan di dalam buku tersebut diambil berat.
“(kaum) wanita juga disarankan untuk mengambil tahu jenis barang yang disenaraikan sebagai barang kadar sifar, kadar rata dan kadar dikecualikan agar kita tidak ditipu oleh peniaga.
“Sekiranya anda ditipu atau anda dikenakan harga berlebihan, kita jangan hanya membebel di mukabuku atau lama sosial, tetapi, anda harus segera mengemukakan aduan kepada pihak berwajib,”ujarnya melalui satu kenyataan.
Beliau juga menggesa, pengguna harus mengubah sikap dengan membuat pilihan, sekiranya boleh, mengunjungi premis dan membeli barangan serta mendapatkan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST.
“kita juga tidak seharusnya membayar cukai sekiranya mana-mana kedai yang anda kunjungi bukanlah kedai yang berdaftar dengan Jabatan Kastam.
“merancang pembelian dengan merujuk buku panduan pengguna agar kita dapat membeli barangan berkadar sifar (GST),
“ubahlah cara berbelanja (dan) berbelanja hanya bila perlu (serta) sediakan senarai barangan yang diperlukan dan bawa wang secukupnya sahaja (ketika membeli belah), ”jelasnya
Beliau menyeru para suri rumah dan pengurus rumah tangga agar meningkatkan usaha untuk memasak makanan sendiri di rumah.
Selain mengelakkan ‘caj’ GST dengan membeli makanan, memasak makanan sendiri, kata beliau dapat memastikan tahap kebersihan makanan seisi keluarga.
“Rajinkan diri kita untuk memasak……….kita kena tahu………. memasak sendiri adalah lebih baik di samping dapat memastikan tahap kebersihan makanan yang kita sediakan.
“Sekiranya anda hidup berjiran, mulakan menanam sayur-sayuran di kawasan rumah anda dan bertukar-tukar hidangan atau makanan mentah. Semarakkan kembali semangat kejiranan yang makin pudar di era kini,”cadang beliau.