Suasana semasa mencabar anak-anak muda Terengganu
KUALA TERENGGANU– Anak-anak muda khususnya di negeri Terengganu diingatkan supaya memiliki prinsip hidup yang teguh dan pegangan yang kuat terhadap agama, bagi menghadapi zaman yang serba mencabar masakini.
“Kita nak ‘enjoy’ macam mana sekali pun, kita nak hidup dalam macam mana sekalipun, kita kena ingat, kita akan mati, akan ada kehidupan selepas itu dan kita kan dinilai,”kata Haji Yahya Ali.
Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Kursus Peradaban Meja Makan dan Seliaan Bilik di Terengganu Equestrian Resort (TER) Rabu, 16 Mac.
Katanya, prinsip hidup yang tidak mudah ‘dijualbeli’ adalah penting bagi mengelakkan muda mudi ‘hanyut’ dengan peredaran masa, walaupun zaman dan keadaan berubah.
(Gambar – Haji yahya Ali menyampaikan sijil kursus kepada para peserta diiringi oleh Datuk Hamzah, CEO TER)
Haji Yahya yang juga selaku, Yang DiPertua PAS Kawasan Marang berkata, tidak salah muda mudi hari mengikuti perkembangan fesyen namun janganlah melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Akibat buruk akan dialami oleh para muda-mudi, menurut Yahya, sekiranya mereka tersilap memilih langkah kerana gejala sosial yang sedang melanda negeri Terengganu adalah antara yang terburuk di Malaysia.
“Kalau kita tersilap langkah, dalam memilih baik dan buruk, ini akan menjadi cabaran kepada kita, di Terengganu kita ni, kalau kita ambik (fakta gejala sosial) tentang penyalahgunaan dadah, Terengganu duduk nombor satu,
“ini tidak termasuk lagi kes-kes yang lain, kes pembuangan anak, misalnya, kes-kes yang melibatkan (muda-mudi) dengan pergaulan bebas dan sebagainya,”jelas Yahya.
Justeru, peningkatan gejala sosial tersebut, menurut Yahya lagi, adalah disebabkan oleh muda-mudi tidak ada pegangan yang kuat dengan agama Islam yang mengajar kita kepada kebaikan.
Seramai 40 peserta dari Nisa’ Marang yang menghadiri kursus selama sehari itu menerima sijil masing-masing, selepas majlis perasmian penutup yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif TER, Datuk Hamzah Mohamad
http://www.youtube.com/watch?v=w-aeUf6N9oM&feature=channel_video_title