Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 1 Ogos: Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) menganjurkan webinar yang berlangsung pada pukul 2.30 hingga 4.30 petang, semalam.
Seramai 121 usahawan tani, mahasiswa dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerima pendedahan tentang kepentingan pengurusan kewangan dan perakaunan dalam menghadapi arus semasa berteraskan norma baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Tuan Saripudin Tuan Ismail mengucapkan syabas kepada KPKB atas inisiatif mempertingkatkan pemahaman usahawan tani Kelantan mengenai kepentingan pengurusan kewangan dalam perniagaan tani.
“Penganjuran webinar ini dapat membantu usahawan menganalisa maklumat kewangan harian bagi memahami dan menilai prestasi perniagaan secara sistematik.
Sekali gus, memberi pendedahan kepada usahawan dalam penyediaan dokumentasi bagi permohonan bantuan dan subsidi kerajaan”, katanya ketika merasmikan seminar maya tersebut.
Menurutnya lagi, program keilmuan ini juga membantu meningkatkan taraf ekonomi bumiputera dalam sektor pertanian kerana usahawan disedarkan tentang kepentingan penyediaan bajet dan pengurusan aliran tunai bagi mengurus perbelanjaan bulanan dengan lebih berhemah.
Konsultan Rizqhub Resources, Zaza Hashim yang sering diundang oleh Seksyen Kecermelangan Perniagaan Enterpis (EBE), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) tampil berkongsi tips kecemerlangan berkaitan pengurusan kewangan, perancangan dan inovasi perniagaan.
Perkongsian tentang cara terbaik untuk mengurus dan melindungi hutang piutang, aset dan pelaburan sedia ada amat bermanfaat kepada peserta.
“Kesedaran sama ada kewangan usahawan tani itu berada pada kedudukan yang positif atau sebaliknya memudahkan mereka membuat pilihan perbelanjaan dan hutang yang perlu dan penting sahaja”, ujarnya.
Sementara itu, Fais Ismail, 49, mewakili Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (KITABINA) berpuas hati selepas menyertai webinar tersebut dan berterima kasih kepada penganjur dan panel yang berjaya berkongsi ilmu untuk beliau mempertingkatkan kemahiran menyimpan dokumen dan merekod urus niaga bersistematik.
“Selepas mendengar penjelasan panel, saya bertambah mahir dalam mengenal pasti, mengintepretasi dan menilai maklumat penyata kewangan”, katanya kegembiraan kerana turut diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah bersama sembilan peserta lain.