Home Berita PAS Kelantan

Kemudahan internet keperluan mendesak – EXCO Teknologi Maklumat

18
SHARE

Oleh MUHAMAD ASRI HAMAT

MACHANG, 2 Ogos: Hari ini, kemudahan rangkaian telekomunikasi terutama capaian internet adalah satu keperluan yang sangat penting dan mendesak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, YB Dato’ Dr Fadzli Hassan berkata demikian sebagai maklum balas tentang permintaan masyarakat terhadap internet sangat tinggi seperti perkhidmatan bekalan air dan elektrik.

“Banyak urusan masyarakat bergantung kepada internet, terutama pelajar-pelajar sekolah untuk sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR)”, katanya ketika menerima rombongan pelawat dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Kelantan, Sabtu lalu.

Disebabkan keperluan kepada rangkaian internet mendesak terutama ketika pandemik COVID-19 ini, beliau berharap agar pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) disingkatkan dari dua tahun kepada setahun.

Melalui JENDELA, SKMM Kelantan dan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB) bekerjasama menangani masalah capaian internet di perkampungan di Machang.

Sebelum itu Dato’ Fadzli diberi taklimat mengenai pelan pembangunan telekomunikasi oleh pengarah SKMM, Abdul Mubin Mohd Zain di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan.

Kemudian rombongan dibawa melawat menara telekomunikasi yang siap dibina pada bulan lepas di Kampung Jakar dan sedia beroperasi bagi merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar.

Seterusnya ke Pusat Internet Komuniti Temangan untuk meninjau masalah telekomunikasi di Kampung Temangan Lama.
Turut hadir, Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB) Mohd Roslan Mohd Zin.