Home Berita PAS Kelantan

Usahawan, peniaga diseru berubah kepada peranti digital

31
SHARE

RANTAU PANJANG, 27 September: Penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan peniaga kini diperluaskan bukan sahaja terhad kepada penggunaan DUIT NOW QR, tetapi juga melalui penggunaan Terminal Bayaran Tanpa Tunai bagi membolehkan transaksi bayaran melalui kad debit dan kad kredit, serta pembayaran melalui e-wallet di telefon bimbit di kalangan pembeli terutama pelancong tempatan ataupun luar negara.

Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ia selaras dengan matlamat kerajaan bagi menggalakkan rakyat beralih kepada transaksi tanpa tunai mulai tahun 2022 terutamanya dalam kalangan peniaga-peniaga atau usahawan kecil dan sederhana di negeri Kelantan terutamanya di pasar-pasar utama di seluruh Kelantan.

“Saya menyeru kepada semua usahawan dan peniaga, rebutlah peluang ini bagi mendapatkan terminal bayaran percuma yang telah disediakan oleh pihak Dr Azu Training and Consultancy (DATA). 3,000 unit terminal disediakan kepada peniaga, jadi boleh berkunjung terus ke kaunter DATA untuk memohon terminal ini. Jika memenuhi syarat yang diperlukan, kemudahan ini akan dapat membantu menaik taraf perniagaan anda semua,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu ditemui media pada pelancaran Program Jelajah Go Digital MPUK Peringkat Pasir Mas-Rantau Panjang yang dilancarkan di Bazar Siti Fatimah semalam. Turut hadir, ADUN Salor YB Saipul Adli Abu Bakar, ADUN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah, Pengarah ICT Gateway, Pengurus Bank Malaysia dan pegawai jemputan lain-lain.

Sementara itu, program ini merupakan program utama bagi menjayakan Plan Induk Ekonomi Digital Negeri Kelantan di bawah teras ‘mewujudkan masyarakat digital yang inklusif’ khususnya bertujuan untuk mengembangkan penerimagunaan pembayaran secara elektronik oleh peniaga dan juga rakyat.

“Terima kasih kepada Bank Islam, DATA, Boost dan TnG e-wallet memainkan peranan utama dalam menjayakan program pada kali ini, sama di peringkat negeri, kerajaan juga telah melancarkan aplikasi Kelantan Pay bagi menggalakkan rakyat melakukan transaksi pembayaran tanpa tunai dalam semua urusan berkaitan bayaran perkhidmatan kerajaan dan juga swasta, melalui Jabatan Pembangunan Wanita agensi di bawah KPWKM, banyak juga disediakan program latihan kemahiran, khidmat nasihat dan latihan bimbingan termasuk Kursus Pemantapan Keusahawanan Wanita (WeBridge) iaitu pemadanan perniagaan kepada usahawan tempatan,” tambahnya.