Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan negeri hargai pengorbanan anak seni

14
SHARE

KUBANG KERIAN, 27 September: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi meluangkan masa hadir menziarahi jenazah almarhum Mohd Hakim Lokman @ Bob Lokman di Kampung Demit, Kubang Kerian, Jumaat lalu.

YB Dato’ Mumtaz yang juga Exco Kebajikan turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada keluarga almarhum atas kehilangan insan yang banyak berjasa kepada negara khususnya dalam bidang seni.

Beliau turut mendoakan semoga amal ibadat dan bakti selama hidupnya diterima oleh Allah SWT dan menempatkan rohnya bersama orang-orang yang soleh.

Bob yang terkenal sebagai penulis lirik, pelawak, pelakon dan pengacara itu pulang menemui Maha Pencipta pada usia 58 tahun akibat komplikasi jantung sesudah sering berulang alik ke hospital untuk rawatan.

Namanya cukup tersohor sebagai penulis lirik melalui lagu Isabella nyanyian Kumpulan Search tahun 1989.

Jenazah arwah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian.