Home Berita PAS Kelantan

Tiada masalah tempoh MB dua penggal

1454
SHARE

KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan tidak bermasalah terhadap cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengehadkan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar (MB) kepada dua penggal sahaja.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, cadangan dibuat perdana menteri bagi menghadkan jawatan berkenaan tidak menjadi masalah kepada PAS di Kelantan.

“Kalau hendak tetap dua penggal, tiga, empat atau lima penggal itu tidak menjadi halangan kepada kita,” katanya selepas merasmikan sambutan ulangtahun ke-28 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke IV di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun, Dato’ Abdullah Yakob, Penasihat Undang-Undangan Negeri, Dato’ Shahidani Abdul Aziz, anggota-anggota Exco dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Dato’ Zamri Ismail.

Program itu bermula dengan solat hajat diimamkan pensyarah Pusat Pengajian Pondok Kandis, Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Kemudian diikuti kuliah Dhuha disampaikan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Dato’ Dr Johari Mat.

Baru-baru ini ketika membentang Rancangan Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, Dr Mahathir mengumumkan beberapa perubahan termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan menteri besar kepada dua penggal sahaja.

Bagaimanapun cadangan itu memerlukan proses pindaan perlembagaan sebelum dapat dilaksanakan.

Ustaz Ahmad juga berkata, kerajaan Kelantan mendahului pusat apabila mewujudkan unit pemantauan projek dan program kerajaan sejak 2014.

Katanya, Sistem Perancangan dan Pemantauan Pelaksanaan Projek (SPARK) berperanan memastikan pentadbiran kerajaan negeri telus, integriti dan cekap.

“SPARK berperanan membuat pemantauan dan penilaian terhadap program yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui anggota-anggota Exco.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga mewujudkan Unit Koordinasi Program Khas yang juga peranan membuat pemantauan,” ujarnya.

Baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan mereformasikan tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam. – HARAKAHDAILY 20/10/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/8456-tiada-masalah-tempoh-mb-dua-penggal