Home Artikel PAS Kelantan

Hapus tol: Kerajaan PH hilang kredibiliti

809 views
SHARE

SAYA bangun bertanya soalan tambahan hari ini di Dewan Rakyat dalam isu penghapusan tol. Soalan asal ialah dari Tuan Muslimin bin Yahaya (PH -Sungai Besar) yang minta Menteri Kerja Raya menyatakan berkaitan West Coast Expressway (WCE) Banting ke Taiping; berapa tahun konsesi diberikan kepada WCE dan juga berhubung jumlah pondok kutipan tol yang akan didirikan.

Saya bangkitkan janji PH yang sampai ke hari ini masih boleh diakses di laman web rasmi mereka bahawa PH memberi keyakinan akan menghapuskan tol secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi selepas 100 hari mentadbir Putrajaya.

Seterusnya di dalam laporan yang disiarkan oleh Harian Metro pada 29 Ogos 2018, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata Kerajaan PH konsisten melunaskan janji penghapusan tol secara berperingkat di seluruh negara dengan mengambil pertimbangan kedudukan kewangan negara. Kali ini beliau menambah, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa selepas mengetahui keadaan sebenar masalah kewangan dan beban hutang ditinggalkan kerajaan terdahulu. Beliau juga turut dilaporkan berkata bahawa penghapusan tol bukan di antara janji 100 Hari dan ia berbeza dengan apa yang disiarkan oleh laman web rasmi PH.

Terkini apabila Perdana Menteri sendiri di Bali Indonesia pada 12 Oktober 2018 yang lepas menyatakan bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Saya bangkitkan tiga kenyataan berbeza ini dari sumber pimpinan PH yang jelas menunjukkan hilangnya kredibiliti PH untuk terus mentadbir negara.

Jawapan Menteri Kerja Raya di Parlimen hari ini juga yang menyatakan bahawa “kerajaan akan membuat pertimbangan berasaskan kepada kemampuan kewangan yang sedia ada,” jelas menunjukkan ketiadaan komitmen di Kerajaan PH untuk menunaikan janji yang telah ditabur kepada rakyat.

Di pihak PAS, kita telah menyatakan komitmen ini di dalam manifesto Gagasan Sejahtera bahawa tol wajib distruktur semula bagi mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
18 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 18/10/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/8438-hapus-tol-kerajaan-ph-hilang-kredibiliti