Home Minda Presiden

Tentera Ahzab datang semula

229
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 32 / 2024]
TENTERA AHZAB DATANG SEMULA


Al-Quran sebagai mukjizat ilmu yang kekal sepanjang zaman, mendedahkan peristiwa Ahzab yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW sejak 15 abad yang lalu. Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran bukan sahaja cerita sejarah dan berita zaman dahulu, bahkan semua yang disebutkan dalam al-Quran ialah petunjuk dan cabaran sepertinya akan berulang sepanjang masa, bagi menguji umat Islam secara khusus dan menapis manusia bermasyarakat majmuk yang menjadi tujuan Islam disampaikan.

Firman Allah SWT khusus kepada orang-orang yang beriman:

الٓمٓ ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣

“Alif lam mim. (1) Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (sahaja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi? (2) Dan sesungguhnya, kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya, (dengan ujian sedemikian) Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya, Allah juga mengetahui orang-orang yang berdusta. (3)” [Surah al-‘Ankabut: 1–3]

Ujian ini akan berpanjangan dan berulang hingga Hari Kiamat, termasuk ujian menghadapi Ahzab, pasukan bersekutu yang diatur oleh orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah SAW. Mereka merancang bersama kaum Musyrikin Makkah, Bani Ghatafan, dan lain-lain bagi menghapuskan Islam.

Walaupun mereka mengetahui benarnya Nabi Muhammad SAW, akhlaknya yang mulia, dan kebijaksanaannya yang luar biasa, malangnya mereka bersedia menjadi penentangnya dan mengajak semua pihak bersama mereka kerana mempertahankan jahiliah yang menjadi pujaan nafsu dan hasad dengki perkauman sehingga menolak untuk beriman. Malah, mereka pula mempengaruhi orang-orang yang lemah keimanannya kepada Allah dan Hari Akhirat dalam masyarakat Islam serta mendedahkan orang-orang munafiq yang berpura-pura beriman supaya dizahirkan apa-apa yang tersembunyi dalam hati mereka.

Dalam sejarahnya, tentera Ahzab ditubuhkan oleh para pemimpin Yahudi yang menemui para pemimpin Musyrikin daripada beberapa kabilah bagi menubuhkan bala tentera Ahzab (tentera bersekutu daripada berbagai-bagai kaum dan kumpulan Musyrikin), yang besar jumlah tentera mereka adalah berkali ganda daripada keseluruhan umat Islam bagi menghapuskan Islam dengan menyerang Madinah.

Maka, berlaku kepungan yang menguji umat Islam sebagaimana yang disebutkan dalam satu surah yang khusus, iaitu Surah al-Ahzab yang dinamakan bersempena nama bala tentera pakatan tersebut. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kamu ketika datang kepada kamu bala tentera (Ahzab), lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu lihat! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepada kamu dari atas dan dari bawah kamu, dan ketika penglihatan (kamu) tidak tentu arah dan hati (jantung) kamu naik menyesak sampai di kerongkong (merasa cemas), dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan. (10) Pada saat itulah, diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11)” [Surah al-Ahzab: 9–11]

Ujian yang bersejarah itu telah membelahbahagikan masyarakat Madinah kepada kumpulan-kumpulan yang didedahkan oleh Allah akan pendirian dan perasaan masing-masing yang disembunyikan oleh mereka, antaranya firman Allah SWT:

وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢

“Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan (kemenangan Islam) kepada kami melainkan tipu daya sahaja.’” [Surah al-Ahzab: 12]

Kumpulan daripada kalangan munafiq menzahirkan segala yang tersirat dalam hati mereka, iaitu tidak percaya akan janji kemenangan Islam daripada Allah dan Rasulullah SAW, di samping mereka juga mempengaruhi kalangan yang lemah keimanannya.

Ada kumpulan yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ يَـٰٓأَهۡلَ يَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُواْۚ وَيَسۡتَـٔۡذِنُ فَرِيقٞ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوۡرَةٞ وَمَا هِيَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارٗا ١٣ وَلَوۡ دُخِلَتۡ عَلَيۡهِم مِّنۡ أَقۡطَارِهَا ثُمَّ سُئِلُواْ ٱلۡفِتۡنَةَ لَأٓتَوۡهَا وَمَا تَلَبَّثُواْ بِهَآ إِلَّا يَسِيرٗا ١٤ وَلَقَدۡ كَانُواْ عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ مِن قَبۡلُ لَا يُوَلُّونَ ٱلۡأَدۡبَٰرَۚ وَكَانَ عَهۡدُ ٱللَّهِ مَسۡـُٔولٗا ١٥

“Dan (ingatlah) ketika segolongan daripada mereka berkata, ‘Wahai penduduk Yathrib (Madinah), tidak ada tempat bagi kamu, maka kembalilah kamu!’ Dan sebahagian daripada mereka meminta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata, ‘Sesungguhnya, rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga dan memerlukan perlindungan).’ Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak melarikan diri. (13) Dan seandainya Yathrib (Madinah) diserang dari segala penjuru, kemudian diminta kepada mereka supaya murtad (berpaling daripada Islam), nescaya mereka mengerjakannya; dan mereka tiada akan bertangguh untuk murtad itu melainkan dalam waktu yang singkat. (14) Dan sesungguhnya, sebelum itu mereka telah berjanji kepada Allah, ‘Mereka tidak akan berbalik ke belakang (mundur).’ Dan perjanjian dengan Allah akan diminta pertanggungjawabannya. (15)” [Surah al-Ahzab: 13–15]

Kumpulan yang lemah iman, tetapi mengaku beriman, betapa lemah keimanan mereka sehingga menjadi pengecut dan tidak tahan diuji. Akhirnya, mereka berpecah daripada bersama Islam lalu bersama musuh, walaupun murtad dengan keluar dari Islam. Keadaan ini disebabkan oleh lemah kepercayaan mereka kepada janji Allah dan Rasulullah SAW, selain bertujuan melemahkan masyarakat Islam.

Malah, ada juga kumpulan yang suka bercakap bagi melemahkan semangat umat Islam dan memecahkan perpaduan umat yang berada dalam bahaya dengan menyebarkan fitnah. Firman Allah SWT:

۞قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا ١٨ أَشِحَّةً عَلَيۡكُمۡۖ فَإِذَا جَآءَ ٱلۡخَوۡفُ رَأَيۡتَهُمۡ يَنظُرُونَ إِلَيۡكَ تَدُورُ أَعۡيُنُهُمۡ كَٱلَّذِي يُغۡشَىٰ عَلَيۡهِ مِنَ ٱلۡمَوۡتِۖ فَإِذَا ذَهَبَ ٱلۡخَوۡفُ سَلَقُوكُم بِأَلۡسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى ٱلۡخَيۡرِۚ أُوْلَـٰٓئِكَ لَمۡ يُؤۡمِنُواْ فَأَحۡبَطَ ٱللَّهُ أَعۡمَٰلَهُمۡۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٗا ١٩ يَحۡسَبُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ لَمۡ يَذۡهَبُواْۖ وَإِن يَأۡتِ ٱلۡأَحۡزَابُ يَوَدُّواْ لَوۡ أَنَّهُم بَادُونَ فِي ٱلۡأَعۡرَابِ يَسۡـَٔلُونَ عَنۡ أَنۢبَآئِكُمۡۖ وَلَوۡ كَانُواْ فِيكُم مَّا قَٰتَلُوٓاْ إِلَّا قَلِيلٗا ٢٠

“Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi antara kamu (munafiq) dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudara mereka, ‘Marilah bersatu dengan kami.’ Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar sahaja. (18) Mereka bersikap bakhil terhadap kamu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan ketika hampir mati. Apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalan mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (19) Mereka mengira (bahawa) golongan-golongan Ahzab (bersekutu) itu belum pergi; dan jika golongan-golongan yang bersekutu itu datang kembali, nescaya mereka ingin berada di dusun-dusun bersama-sama orang Arab Badwi, sambil bertanyakan berita tentang kamu. Dan sekiranya mereka berada bersama-sama kamu, mereka tidak akan berperang, melainkan sebentar sahaja. (20)” [Surah al-Ahzab: 18–20]

Namun, Allah menyebut adanya para sahabat yang setia dengan keimanan mereka, tidak berganjak bersama Rasulullah SAW bagi menegakkan Islam dan mempertahankannya. Hal ini demikian kerana, mereka percaya bahawa setiap yang berlaku itu ialah ujian Allah terhadap keimanan dan keikhlasan mereka. Firman Allah SWT:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١ وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا ٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣ لِّيَجۡزِيَ ٱللَّهُ ٱلصَّٰدِقِينَ بِصِدۡقِهِمۡ وَيُعَذِّبَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ إِن شَآءَ أَوۡ يَتُوبَ عَلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٢٤

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang terbaik bagi kamu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut dan mengingati Allah. (21) Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan kepada Allah. (22) Antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa-apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka, antara mereka ada yang gugur, dan antara mereka ada (pula) yang menunggu giliran, dan mereka tidak mengubah (janji mereka) sedikit pun. (23) (Berlaku yang demikian) supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenaran mereka, dan menyeksa orang munafiq jika dikehendaki-Nya, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (24)” [Surah al-Ahzab: 21–24]

Golongan yang ikhlas beriman tetap bersama Rasulullah SAW dan menerima bahawa kedatangan musuh ialah ujian yang dijanjikan oleh Allah; menandakan iman mereka diterima Allah dan bersedia untuk mati dalam keimanan mereka.

Benarnya al-Quran sebagai petunjuk sepanjang zaman ialah apabila situasi politik dunia terkini menunjukkan keangkuhan Zionis tidak tamat bagi perjuangan menegakkan negara bangsa Yahudi yang menakluki dunia, atas nama mengembalikan semula empayar Nabi Sulaiman AS. Padahal Nabi Sulaiman diizinkan Allah untuk menguasai dunia bagi menegakkan keadilan agama Allah kepada seluruh alam. Kelebihan ini tidak layak lagi kepada bangsa Yahudi yang bertukar menjadi laknat Allah dan paling dimurkai-Nya kerana merosakkan dunia apabila tidak beramal dengan kitab Taurat yang sekadar dipangku dan dibaca sahaja.

Firman Allah SWT yang menegaskan kerajaan Nabi Sulaiman AS dan kerajaan umat Rasulullah SAW pada akhir zaman:

أَمۡ يَحۡسُدُونَ ٱلنَّاسَ عَلَىٰ مَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۖ فَقَدۡ ءَاتَيۡنَآ ءَالَ إِبۡرَٰهِيمَ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَءَاتَيۡنَٰهُم مُّلۡكًا عَظِيمٗا ٥٤ فَمِنۡهُم مَّنۡ ءَامَنَ بِهِۦ وَمِنۡهُم مَّن صَدَّ عَنۡهُۚ وَكَفَىٰ بِجَهَنَّمَ سَعِيرًا ٥٥

“Adakah patut mereka berasa dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurniaan yang Allah telah berikan kepadanya? Sesungguhnya, Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kerajaan yang besar kepada mereka. (54) Maka, antara mereka (orang-orang yang dengki itu), ada orang-orang yang beriman kepadanya, dan antara mereka ada orang-orang yang menghalangi (manusia) daripada beriman kepada-Nya. Dan cukuplah (bagi mereka) Jahanam yang menyala-nyala apinya. (55)” [Surah al-Nisa’: 54–55]

Dua negara yang beramal dengan Kitab Allah: Kerajaan Sulaiman AS yang berpandukan kitab Taurat dan kerajaan Islam umat Muhammad SAW yang berpandukan al-Quran.

Adapun kaum Yahudi Zionis sudah dianggap menjadi makhluk perosak yang tidak diizinkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤

“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu.’ Sebenarnya, tangan merekalah yang terbelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa-apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian) bahkan kedua-dua Tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya. Dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi, dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.” [Surah al-Ma’idah: 64]

Kumpulan Yahudi tersebut menubuhkan Pertubuhan Zionis Sedunia (World Zionist Organization) yang telah berjaya mengumpulkan bala tentera Ahzab bersama penganut Kristian yang sesat dan mereka bersama-sama menentang Islam melalui Perang Salib sehingga berlalu beberapa abad. Mereka berjaya dipengaruhi untuk menyertai Zionis dalam membentuk kumpulan menentang Islam, diikuti oleh beberapa negara Arab dan Islam sehingga menjatuhkan Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang lemah.

Kemudian, mereka berjaya menubuhkan negara haram Israel melalui pakatan bersama Ahzab pada tahun 1948 dan menggagalkan jihad umat Islam yang mempertahankan Palestin tanpa ada kerajaan yang memayungi mereka. Setelah itu, pihak Zionis meneruskan perjuangan mencari Tabut (Peti Keramat) yang dipercayai memberikan kuasa ghaib yang dipimpin oleh al-Masih (Dajjal berbangsa Yahudi).

Islam dan umatnya dijadikan pencabar yang sedang bangkit. Mereka gagal menyekat kebangkitan semula umat Islam yang mula bersatu setelah dipecahkan dengan senjata perkauman dan fanatik mazhab yang menjadi penyakit umat pada era kelemahannya sehingga dijajah.

Walaupun Zionis berjaya mempengaruhi negara-negara besar Amerika Syarikat dan Eropah serta beberapa negara Arab dan Islam dengan kuasa politik, ekonomi, dan media sehingga berpangkalan tentera dan menguasai sumber tenaga dari bumi Islam, namun kebangkitan Islam terus memuncak dan mara ke hadapan. Maka, perancangan yang dilakukan terkini adalah bagi menentang kemaraan Islam yang dijenamakan dengan gelaran pengganas dan penjahat.

Keadaan ini boleh mencetuskan berulangnya peperangan besar Ahzab yang tidak boleh dihalang lagi, menyebabkan negara Islam dan umatnya berbelah bahagi apabila diuji lagi mengikut kenyataan al-Quran. Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nya jua segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]

Kini, muncul dalam kalangan negara dan umat Islam, kumpulan-kumpulan yang beristiqamah bersama Islam bagi menghadapi tentera Ahzab baharu.

Sebahagian umat Islam dan negaranya bersatu teguh bersama Islam tanpa berpecah kerana perbezaan bangsa dan mazhab, tetapi menjadi Ahli Kiblat yang satu dalam mendirikan solat, melaksanakan haji, dan menggerakkan politik bersama menghadapi kumpulan Zionis. Negara yang paling terbuka dan berterus terang ialah Republik Islam Iran yang berjuang dengan nyawa, senjata, dan harta.

Malangnya, ada pula negara Arab dan Islam yang melakukan normalisasi bersama Zionis dalam hubungan politik, ekonomi, bahkan ketenteraan bersama negara-negara dalam kumpulan Ahzab.

Ada juga yang masih banyak bercakap dengan alasan perbezaan mazhab dan ideologi politik mengeluarkan kenyataan yang memecahkan perpaduan umat Islam, sehingga ada yang berbeza kiblat solat dan haji mereka ke arah Kaabah (Rumah Allah) di Makkah, namun kiblat politik, ekonomi, dan urusan duniawi mereka ke arah Amerika Syarikat dan Eropah yang berkiblatkan White House (Rumah Putih) dan mengucup BlackRock berimamkan Zionis. Hal ini disebabkan oleh wawasan dunia tanpa ke akhirat, sehingga ada yang mengeluarkan ucapan memperkecilkan mereka yang berjihad dan mati syahid di medan perang yang terbuka.

Mereka menolak jihad menentang Zionis dan sekutunya yang mengganas di Gaza kerana Hamas dan Tanzim Jihad yang bermazhab Sunni menentang Zionis dibantu oleh Iran yang bermazhab Syiah, sehingga semuanya disenaraikan sebagai kumpulan pengganas.

Akan tetapi, mereka membisu apabila kerajaan mereka bersama Amerika Syarikat menyerang Afghanistan, menyerang Iran dalam Perang Teluk Pertama, menyerang Iraq dalam Perang Teluk Kedua, serta menyerang Syria dan Yaman, di samping tidak berperasaan kemanusiaan terhadap keganasan Zionis yang paling melampau sehingga dikutuk oleh seluruh dunia. Mungkin kerana kiblat politik mereka sudah ke sana, walaupun mazhab aqidah mereka Salafi, Asha‘irah, dan Maturidiyyah serta solat mereka bermazhab empat.

Mereka mengucapkan takziah dan melawat kematian pemimpin Israel, Shimon Peres, tetapi membisu terhadap gugur syahidnya pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan panglima Hizbullah, Fuad Shukr, bahkan ada yang bergembira bersama Zionis dan sekutunya kerana syahidnya Qasem Soleimani, panglima yang ditugaskan untuk membebaskan Masjid al-Aqsa.

Merekalah yang disifatkan oleh firman Allah SWT:

۞وَلَوۡ أَرَادُواْ ٱلۡخُرُوجَ لَأَعَدُّواْ لَهُۥ عُدَّةٗ وَلَٰكِن كَرِهَ ٱللَّهُ ٱنۢبِعَاثَهُمۡ فَثَبَّطَهُمۡ وَقِيلَ ٱقۡعُدُواْ مَعَ ٱلۡقَٰعِدِينَ ٤٦ لَوۡ خَرَجُواْ فِيكُم مَّا زَادُوكُمۡ إِلَّا خَبَالٗا وَلَأَوۡضَعُواْ خِلَٰلَكُمۡ يَبۡغُونَكُمُ ٱلۡفِتۡنَةَ وَفِيكُمۡ سَمَّٰعُونَ لَهُمۡۗ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ ٤٧

“Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. Dan dikatakan kepada mereka, ‘Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu.’ (46) Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambahkan kamu selain daripada kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan antara kamu; sedang antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengar akan perkataan (hasutan) mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim. (47)” [Surah al-Tawbah: 46–47]

Mereka ialah kalangan mereka yang bersedia memutuskan hubungan persaudaraan Islam dan memberi wala’ kepada musuh Islam tanpa peduli akan firman Allah SWT:

۞يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥١ فَتَرَى ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ يُسَٰرِعُونَ فِيهِمۡ يَقُولُونَ نَخۡشَىٰٓ أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٞۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن يَأۡتِيَ بِٱلۡفَتۡحِ أَوۡ أَمۡرٖ مِّنۡ عِندِهِۦ فَيُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَآ أَسَرُّواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ نَٰدِمِينَ ٥٢ وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَهَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ أَقۡسَمُواْ بِٱللَّهِ جَهۡدَ أَيۡمَٰنِهِمۡ إِنَّهُمۡ لَمَعَكُمۡۚ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَأَصۡبَحُواْ خَٰسِرِينَ ٥٣

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin kamu; kerana sebahagian mereka merupakan pemimpin atau sekutu kepada sebahagian yang lain. Dan sesiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya, orang itu termasuk dalam golongan mereka. Sesungguhnya, Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (51) Maka, kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hati mereka (orang-orang munafiq) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata, ‘Kami takut akan ditimpa bencana.’ Mudah-mudahan, Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau mendatangkan sesuatu keputusan daripada sisi-Nya. Maka, kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa-apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka. (52) Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan, ‘Inikah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?’ Rosak binasalah segala amalan mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang rugi. (53)” [Surah al-Ma’idah: 51–53]

Walaupun ada kalangan Islam yang tercabut syakhsiah mereka dan terpesong kepercayaan kepada agama mereka, namun terdapat kalangan bukan Islam yang masih bersifat kemanusiaan menolak kegelojohan Zionis yang melampau. Dalam pada itu, kita menyaksikan kumpulan Islam yang beradab perikemanusiaan dalam jihad mereka dan tidak melampau, walaupun diperlakukan secara paling ganas oleh Zionis. Perubahan sikap terhadap Islam yang berlaku di negara bukan Islam pada peringkat rakyat dan kerajaan membuktikan kebenaran firman Allah SWT:

هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ialah orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada orang yang kikir. Dan sesiapa yang kikir, sesungguhnya, dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya). Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 2 Safar 1446 / 7 Ogos 2024