Home Berita PAS Kelantan

Sumbangan PERAKAN dihargai, terus diperlukan – YB Speaker

38
SHARE

KEDAH, 17 April: Sekian lama anak perantau Kelantan terutamanya yang bernaung di bawah Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN Malaysia) telah memberi sumbangan yang besar kepada kemantapan dan keteguhan Kerajaan Negeri Kelantan dalam meneruskan pertadbiran Membangun Bersama Islam (MBI).

Demikian ucapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, YB Dato’ Abdullah Yakob semasa merasmikan Majlis Ihya’ Ramadan Pemimpin Kerajaan Negeri bersama Anak Perantau Kelantan Zon Utara di Mahaad Tahfiz Intan, Sungai Petani Kedah, Jumaat lepas.

Beliau turut memetik kata-kata almarhum Tuqn Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mantan Menteri Besar) yang berkata, “Sesiapa yang menyokong perjuangan Islam yang didokong oleh pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan sejak dari tahun 1990 sampai ke hari ini, oleh kerana banyak agenda Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, maka pengundi dan penyokong turut akan diberi pahala”.

Menurutnya lagi, peranan perantau sangat diperlukan sekali lagi dalam berhadapan dengan pilihanraya umum akan datang dengan memastikan anak masing-masing diberi kefahaman untuk turut serta bagi memastikan agenda Islam terus dapat dilaksanakan.

“Saya mewakili pemimpin Negeri Kelantan, mengharapkan tuan puan untuk mendokong visi dan misi Kerajaan Negeri. Kita akan dapat diteruskan agenda Membangun Bersama Islam dan tuan puan adalah wakil kami (kerajaan) yang sah di segenap pelusuk negara”, katanya di hadapan 450 anak perantau yang hadir.

Majlis anjuran bersama Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dan PERAKAN Malaysia tersebut dimulai dengan kupasan ayat tadarus Surah Toha, Ayat 90 hingga 94 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar, YB Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.