Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan Kelantan bentuk masyarakat melalui Mawaddah Centre

29
SHARE

KOTA BHARU, 17 April: Kerajaan Negeri Kelantan membangunkan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan (Mawaddah Centre) ialah satu usaha yang baik bagi menyempurnakan tanggungjawab memandu masyarakat ke arah membina masyarakat yang mawaddah wa rahmah.

Demikian ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad di Majlis Pelancaran Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan (Mawaddah Centre)dengan Kerjasama Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) Negeri Kelantan di Stesen Bas, Jalan Pendek, hari ini.

Menurut beliau, usaha yang dibuat oleh Kerajaan Kelantan menjadi ikutan negeri-negeri lain terutamanya dalam aspek pendidikan dan keagamaan, contohnya pada bulan Rejab lalu, pihak Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri telah melancarkan kempen bulan solat peringkat kebangsaan dengan mengambil model pelaksanaan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Asas pembinaan masyarakat bermula dengan pembentukan keluarga muslim, kemudian wujudnya masyarakat muslim. Sekiranya keluarganya baik, jiran tetanga baik, akan wujudlah satu masyarakat yang baik dan dari situ wujudnya daulah islamiyah (negara Islam) yang baik,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau juga memetik sabda Nabi SAW yang bermaksud, didiklah anak kamu dengan tiga perkara, yang pertama sayangkan kepada nabi, kedua sayangkan ahli keluarga nabi dan ketiga membaca al-Quran.

Terdahulu, Mawaddah Centre kelolaan Urus Setia Kebajikan Wanita, Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) adalah inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyediakan perkhidmatan bagi menangani permasalahan institusi kekeluargaan dan sosial dalam kalangan masyarakat Kelantan.