Home Artikel PAS Kelantan

Senarai pengundi dibantah muncul semula

677 views
SHARE

KOTA BHARU: Majlis Tindakan Dun Bukit Panau menemui 316 pengundi yang dipindahkan secara terancang dan tersusun dari kawasan lain ke Dun berkenaan.

Berikutan isu tersebut hari ini Penghulu Tanpa Mukim DUN Bukit Panau, Saari Hamzah bersama lebih 30 ahli PAS membuat laporan polis berkaitan daftar pemilih di DUN berkenaan yang meragukan.

Katanya, berdasar pengamatannya ada unsur-unsur penipuan dan pemindahan serta pengaturan pengundi ke Dun terbabit.

“Lebih menghairankan lagi nama-nama tersebut pernah dibantah dalam Rang Kedua Daftar Pemilih bagi tahun 2017 dan pihak pembantah Dun Bukit Panau memenangi bantahan berkenaan.

“Dan kami dapati semua nama yang tersebut telah dibuang dalam rang terbabit, namun kami terkejut apabila dalam senarai rang tambahan bagi 2017, semua nama nama terbabit muncul kembali,” katanya selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu.

Hadir sama Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah dan Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim.

Saari juga berkata, Majlis Tindakan Dun Bukit Panau telah membuat bantahan susulan kemunculan kembali senarai tambahan tersebut.

“Laporan polis dibuat hari ini supaya pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut bagi mengenal pasti punca berulangnya kemasukan pengundi terbabit.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan pengundi terbabit mungkin bertindak demikian atas dasar ingin menipu SPR,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2018