Home Berita PAS Perlis

Pupuk semangat cintakan negara tanggungjawab semua pihak

36
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 29 Ogos: Semua pihak di negeri ini diseru memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan agenda kerajaan ke arah memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji Mohd. Ridzuan Hashim, persepsi bahawa tugas berkenaan adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata adalah tidak benar dan perlu diperbetulkan.

“Baik individu, komuniti mahupun badan-badan korporat, masing-masing ada peranan untuk sama-sama menyemai rasa cintakan negara dalam kalangan rakyat.

“Misalnya, apa yang dilakukan oleh pihak Masjid Kampung Chemumar dalam menganjurkan Karnival Merdeka pada hari ini (semalam) amatlah tepat dan wajar dijadikan contoh oleh semua pihak,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Mohd. Ridzuan, apa yang penting adalah mendidik dan menyedarkan masyarakat akan peri pentingnya mensyukuri nikmat kemerdekaan yang sedang dikecapi pada ketika ini.

“Baik di peringkat kanak-kanak, mahupun dewasa, semua lapisan masyarakat hendaklah sedar betapa kemajuan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil daripada pengorbanan generasi terdahulu yang sanggup berjuang membebaskan negara dari belenggu penjajah,” katanya.